Home Blog Page 6

Pembinaan rumah mampu milik di Bernam Jaya buka peluang ekonomi

0

Pembinaan 2,300 unit rumah mampu milik di Bernam Jaya, Hulu Selangor bawah Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) mampu merancakkan ekonomi di kawasan terbabit.

Dato’ Menteri Besar berkata projek pembangunan rumah teres setingkat atas tanah seluas 191 ekar yang dijangka bermula tahun depan bakal membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan.

“Penerokaan kawasan baharu (untuk pembinaan rumah mampu milik) sebagai contoh di Bernam Jaya akan menjadi pemangkin kepada pembangunan masa depan terutama di utara Selangor.

“Lebih-lebih lagi pembinaan Proton City bersebelahan Bernam Jaya yang kita percaya limpahannya boleh dinikmati penduduk Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di sini hari ini.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif KHSB berkata agensi berkenaan juga bakal membangunkan 2,000 unit pangsapuri komersial di Petaling Jaya dengan kerjasama pemaju swasta.

Dimulakan sejak 2022, Rahana Abdullah menjangka projek melibatkan tiga bangunan itu selesai dalam tempoh lapan tahun, dengan 60 peratus daripada unit tersebut terjual setakat ini.

“Projek di Bernam Jaya dijangka berjalan selama lima tahun dan ketika ini dalam proses kelulusan (kebenaran merancang). Insya-Allah akan dilancar selepas raya tahun depan.

“Kedua-dua projek ini akan melibatkan nilai pembangunan kasar RM1.5 bilion,” katanya. – SETERUSNYA

Hujan lebat di Selangor, Kedah malam ini

0

Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat di lapan negeri sehingga pukul 9 malam ini 7/12/2023.

Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu melibatkan beberapa kawasan di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat termasuk keseluruhan kawasan Pulau Pinang.

“Selain itu, Kedah membabitkan Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak), Pahang (Lipis, Raub, Bentong, Bera dan Rompin) dan Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Jempol).

“Bagi Sarawak pula, ia melibatkan Miri (Subis, Beluru, Telang Usan dan Marudi) dan Limbang manakala di Sabah membabitkan Pedalaman, Pantai Barat, Tawau dan Sandakan (Tongod, Telupid, Beluran dan Sandakan,” katanya.

Tambahnya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

 

Tumpahan cecair getah, tiada gangguan LRA, bekalan air terawat

HULU SELANGOR: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesahkan tiada gangguan kepada Loji Rawatan Air (LRA) dan bekalan air terawat susulan kejadian tumpahan cecair getah di Kilometer 435.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Utara, dari Rawang ke Sungai Buaya, malam tadi.

Luas dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja pembersihan dilakukan pasukan bomba dan Plus yang mengambil masa kira-kira lima jam dan selesai jam 3.40 pagi.

“Pemerhatian lanjut dilakukan bagi memastikan keseluruhan lokasi terbabit dan kawasan sekitarnya bebas daripada potensi dan risiko pencemaran sumber air,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, penghargaan diberikan kepada bomba dan Plus yang berjaya mengawal risiko insiden daripada pencemaran kepada sumber air negeri dan komitmen melaksanakan kerja-kerja pembersihan sepenuhnya.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, sebuah lori membawa muatan cecair getah terbabit kemalangan menyebabkan satu tong cecair getah pecah dan tumpah di lorong kiri dan tengah lebuh raya.

Lori berkenaan membawa 15 tong cecair getah dengan setiap satu tong mempunyai satu tan dan anggaran keseluruhan muatan sebanyak 15 tan.

Susulan itu, pasukan bomba Rawang bersama PLUS dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal tumpahan dengan meletakkan serbuk kayu serta membuat halangan supaya sisa cecair getah tidak memasuki longkang berhampiran.

Semakan awal mendapati lokasi kemalangan terletak bersebelahan Sungai Serendah dan ia berpotensi mengakibatkan pencemaran sumber air di Sungai Selangor.

Ia dijangka boleh memberi kesan kepada LRA Rantau Panjang pada jarak 17.7 kilometer dan LRA Sungai Selangor (SSP) Fasa 1, 2 serta 3 pada jarak sekitar 24 kilometer sekiranya tumpahan tidak dibersihkan sepenuhnya.

 

Enam warga asing ditahan terlibat dalam kegiatan pelacuran

KUALA LUMPUR: Polis menahan enam warga asing termasuk tiga wanita yang disyaki terlibat dalam kegiatan pelacuran menerusi serbuan di sebuah premis di Jalan Pudu di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua individu yang ditahan berumur antara 27 hingga 39 tahun dengan seorang daripada lelaki yang ditangkap, bertindak sebagai ejen kepada tiga wanita terbabit.

“Dalam serbuan 3 petang itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya gel pelincir, buku catatan, 12 keping kondom, tiga keping kad akses dan wang tunai,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati, ketiga-tiga wanita berkenaan mula menyewa bilik di premis terbabit sejak minggu lepas dengan kadar RM40 sehari untuk melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Noor Dellhan berkata kesemua terlibat ditahan reman hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan selain Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dokumen tamat tempoh.

Dua suspek aktif curi kad sistem TM diberkas di Slim River

0

Helah dua lelaki memperdaya polis dengan memakai baju berlogo Telekom Malaysia (TM) untuk mencuri kad sistem milik TM gagal apabila mereka yang sedang melakukan kegiatan itu, berhampiran stesen minyak di Slim River dekat Tanjung Malim, semalam diberkas.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata semasa anggota dari Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Slim River melakukan tugas rondaan cegah jenayah di sekitar pekan Slim River pada 11 pagi semalam, ternampak kedua-dua suspek sedang membuka kabinet kad sistem.

“Apabila pihak polis cuba menghampiri, kedua-dua suspek terus melarikan diri menggunakan sebuah kereta jenis Honda Accord yang didapati menggunakan plat pendaftaran palsu.

“Pihak polis terus bertindak mengejar kereta tersebut dan berjaya menahan suspek di tepi Jalan Ibrahim Mohd Dom,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau hasil pemeriksaan di dalam kereta yang dinaiki suspek menemukan 21 unit kad sistem TM pelbagai jenis dan peralatan  yang digunakan untuk mengumpil kabinet kad sistem TM serta merampas dua helai baju berlogo TM dan topi keselamatan yang dipakai kedua-dua suspek.

Mohd Hasni berkata hasil soal siasat dijalankan, kedua-dua suspek berumur 37 dan 42 tahun berasal dari Shah Alam dan Petaling Jaya.

Seorang daripada suspek pernah ditangkap sebelum ini di Klang dan telah dituduh di Mahkamah Majistret Tanjung Malim pada Ogos lepas.

“Dengan tertangkapnya kedua-dua suspek,  polis berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian kad sistem TM dalam daerah Muallim melibatkan kerugian RM350,530,” katanya.

Mohd Hasni berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

 

Sultan Selangor isytihar Hutan Warisan Diraja Selangor seluas 108,000 hektar

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan pemasyhuran Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS) melibatkan 26 buah Hutan Simpan Kekal seluas 108,000 hektar, hari ini.

Pengisytiharan itu selaras titah Sultan Sharafuddin sebelum ini yang mahu menjadikan suatu kawasan hutan yang mencakupi aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, reakreasi, eko-pelancongan dan sebagainya.

Turut berangkat pada majlis tersebut adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, idea bagi memperkenalkan konsep hutan itu susulan kunjungan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) yang mengadap Sultan Sharafuddin bagi mempersembahkan taklimat mengenai penyediaan Pelan Induk Pembangunan HWDS pada 16 Mac lalu di Istana Bukit Kayangan, di sini.

Katanya, Sultan Selangor berkenan menitahkan supaya diadakan satu majlis pengisytiharan HWDS dan mengadakan Ekspedisi Saintifik di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor.

“Ini bagi mengenalpasti taburan spesies biodiversiti flora dan fauna yang boleh didapati di kawasan hutan tersebut.

“Antara tiga buah HSK yang diisytihar sebagai HWDS ialah Hutan Simpan Hulu Selangor, Hutan Simpan Hulu Langat dan Hutan Simpan Hulu Gombak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan HWDS serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan kerajaan negeri sentiasa konsisten dalam memelihara dan melindungi khazanah hutan di negeri selaras fungsinya sebagai kawasan tadahan air, habitat flora dan fauna, kawalan hakisan dan banjir selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.

“Sehingga kini, keseluruhan kawasan HSK di Selangor adalah seluas 250,739.33 hektar, iaitu 31.7 peratus daripada keluasan tanah negeri.

“Keluasan HSK ini didapati telah semakin meningkat berbanding hanya 30.55 peratus pada tahun 2008,” jelasnya.  – SELANJUTNYA

Kejayaan tangkapan (1) lelaki warga tempatan terlibat dalam kes ketum

Hulu Selangor, Pada jam lebih kurang 1745 hrs 28.11.2023, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Hulu Selangor telah berjaya menahan dan menangkap (1) lelaki warga tempatan di kawasan Gedangsa, Hulu Selangor.

Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan telah menjumpai dan merampas (1) botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum. Berikutan kejayaan ini, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Hulu Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah Sek. 30(3) AR 1952.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor memohon dan menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan dadah, jenayah dan sebarang aktiviti yang mencurigakan untuk tampil atau menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah, Balai-balai berdekatan atau FB messenger Polis Dearah Hulu Selangor. PDRM Hulu Selangor akan mengambil tindakan segera keatas setiap maklumat serta aduan yang diterima tanpa sebarang kompromi serta prejudis. Kerjasama daripada masyarakat amat dialu-alukan bagi mengekalkan persekitaran yang kondusif serta selamat selaras dengan moto pasukan PDRM Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada – SETERUSNYA

#PolisDaerahHuluSelangor

Perhilitan giat kesan harimau di hutan Hulu Selangor

0

HULU SELANGOR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sedang giat menjalankan rondaan dan pemantauan rapi bagi mengesan Harimau Malaya di kawasan hutan Hulu Selangor.

Pengarah Perhilitan Selangor, Wan Mohd. Adib Wan Mohd. Yusoh berkata, pihaknya menerima aduan mengenai gangguan harimau itu pada Ogos lalu menerusi laporan polis yang dibuat orang awam.

“Kita telah menjalankan aktiviti pemantauan melalui pemasangan perangkap kamera di lokasi yang disyaki.

“Setakat ini tiada tangkapan dilakukandan kita masih membuat rondaan serta pemantau berterusan di kawasan hutan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.

Jelas Wan Mohd. Adib, Selangor antara negeri di Semenanjung Malaysia yang mempunyai Harimau Malaya di dalam kawasan hutan.

“Berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan Pertama (NTS1) antara 2016 hingga 2020, terdapat cerapan harimau itu direkodkan di hutan Hulu Selangor menerusi bukti gambar daripada perangkap kamera yang dipasang sepanjang tempoh survei berkenaan,” ujarnya.

Tambah beliau, tiada tangkapan melibatkan Harimau Malaya direkodkan di Selangor pada tahun ini. – Seterusnya

Lontong gulai pucuk paku Padang

0

Banyak sayur paku pakis belakang rumah? Tak tahu nnak masak apa?
Dah bosan dengan masak lodeh?
Mari kita buat lontong, masak lemak pucuk paku.

Bahan-bahan
1 ikat pucuk pakis
4 butir telor ayam sdh direbus
900 ml santan
Garam secukupnya
3 asam keping
1 batang serai

Untuk dikisar:
5 bawang merah
4 bawang putih
15 biji cili api hijau
1 inci halia
2 inci lengkuas
1 inci kunyit

Pelengkap

Lontong
Bawang goreng
Keropok

Cara Membuat

Langkah 1
Kisar bahan yang perlu dikisar

Langkah 2
Dalam kuali campur bahan yang dikisar dengann santan dan digail rata lalu masukkan daun limau purut, daun kunyit dan serai.

Langkah 3
Nyalakan api lalu masak santan sampai mendidih dan tambahkan garam. Setelah mendidih masukkan telor, gaul lagi

Langkah 4
Masukkan pucuk paku masak sampai layu – siap dihidangkan
Seterusnya 

KO-Kasih, MyOKU jalin kerjasama bangunkan aktiviti ekonomi Bukit Tasik Serendah

0

HULU SELANGOR: Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) melalui Koperasi Kasih YBK Selangor Berhad (KO-KASIH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Usahawan MyOKU Selangor Berhad (MyOKU) untuk bekerjasama membangunkan aktiviti ekonomi di kawasan Bukit Tasik Serendah, Hulu Selangor.

Pengerusi KO-KASIH Datin Dr Hartini Osman berkata menerusi kerjasama berkenaan, MyOKU akan mengusahakan aktiviti pertanian, penternakan dan pelancongan di kawasan tanah seluas 60 ekar milik YBK di Bukit Tasik Serendah.

“Kerjasama ini strategic partnership… KO-KASIH dan MyOKU akan menjalankan aktiviti pemasaran secara bersama-sama, tetapi keseluruhan pelaksanaan aktiviti di tanah itu akan dijalankan oleh MyOKU kerana mereka ada rangkaian peserta lebih luas yang boleh membantu.

“Kemungkinan juga kita akan mengadakan latihan berkaitan aktiviti pertanian dan penternakan untuk anak-anak di bawah kelolaan YBK supaya mereka boleh turut serta membantu di tempat itu pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media selepas majlis MoU di ibu pejabat YBK dekat sini, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Hartini mewakili KO-KASIH dengan Pengerusi MyOKU Muhammad Asyraf Mahat, disaksikan oleh Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sahom dan Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Selangor Syazan Afifi Haron.

Hartini berkata kawasan Bukit Tasik Serendah berpotensi besar bagi menarik pengunjung untuk aktiviti riadah.

“Ini kerana kedudukannya yang tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur, hanya 39 kilometer melalui Rawang Bypass dan masih lagi mengekalkan kehijauan semula jadi dan ciri-ciri alam seperti sungai dan air terjun yang terletak berhampiran,” katanya.

Sementara itu Muhammad Asyraf berkata tanaman yang dicadangkan untuk dijalankan termasuk Sorghum, Napier, Murungai dan juga pokok buah-buahan tempatan.

“Selain itu, aktiviti penternakan juga akan dilaksanakan untuk ayam kampung kacuk, kambing, lembu, rusa dan ikan air tawar.

“Untuk menarik pengunjung dan menjadikan Bukit Tasik Serendah kawasan agro-pelancongan, tarikan seperti mini zoo, restoran makanan eksotik, chalet, tapak perkhemahan dan pelbagai lagi akan dibangunkan secara berperingkat,” katanya. – Seterusnya