HomeEKONOMIKO-Kasih, MyOKU jalin kerjasama bangunkan aktiviti ekonomi Bukit Tasik Serendah

KO-Kasih, MyOKU jalin kerjasama bangunkan aktiviti ekonomi Bukit Tasik Serendah - huluselangor.com

HULU SELANGOR: Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) melalui Koperasi Kasih YBK Selangor Berhad (KO-KASIH) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Koperasi Usahawan MyOKU Selangor Berhad (MyOKU) untuk bekerjasama membangunkan aktiviti ekonomi di kawasan Bukit Tasik Serendah, Hulu Selangor.

Pengerusi KO-KASIH Datin Dr Hartini Osman berkata menerusi kerjasama berkenaan, MyOKU akan mengusahakan aktiviti pertanian, penternakan dan pelancongan di kawasan tanah seluas 60 ekar milik YBK di Bukit Tasik Serendah.

“Kerjasama ini strategic partnership… KO-KASIH dan MyOKU akan menjalankan aktiviti pemasaran secara bersama-sama, tetapi keseluruhan pelaksanaan aktiviti di tanah itu akan dijalankan oleh MyOKU kerana mereka ada rangkaian peserta lebih luas yang boleh membantu.

“Kemungkinan juga kita akan mengadakan latihan berkaitan aktiviti pertanian dan penternakan untuk anak-anak di bawah kelolaan YBK supaya mereka boleh turut serta membantu di tempat itu pada masa hadapan,” katanya dalam sidang media selepas majlis MoU di ibu pejabat YBK dekat sini, hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Hartini mewakili KO-KASIH dengan Pengerusi MyOKU Muhammad Asyraf Mahat, disaksikan oleh Pengerusi YBK Datuk Zainal Abidin Sahom dan Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Selangor Syazan Afifi Haron.

Hartini berkata kawasan Bukit Tasik Serendah berpotensi besar bagi menarik pengunjung untuk aktiviti riadah.

“Ini kerana kedudukannya yang tidak jauh dari pusat bandar Kuala Lumpur, hanya 39 kilometer melalui Rawang Bypass dan masih lagi mengekalkan kehijauan semula jadi dan ciri-ciri alam seperti sungai dan air terjun yang terletak berhampiran,” katanya.

Sementara itu Muhammad Asyraf berkata tanaman yang dicadangkan untuk dijalankan termasuk Sorghum, Napier, Murungai dan juga pokok buah-buahan tempatan.

“Selain itu, aktiviti penternakan juga akan dilaksanakan untuk ayam kampung kacuk, kambing, lembu, rusa dan ikan air tawar.

“Untuk menarik pengunjung dan menjadikan Bukit Tasik Serendah kawasan agro-pelancongan, tarikan seperti mini zoo, restoran makanan eksotik, chalet, tapak perkhemahan dan pelbagai lagi akan dibangunkan secara berperingkat,” katanya. – Seterusnya

HomeEKONOMIKO-Kasih, MyOKU jalin kerjasama bangunkan aktiviti ekonomi Bukit Tasik Serendah

Berkaitan

POPULAR