HomeBERITAALAM SEKITARPERHILITAN pasang perangkap buaya di tasik Serendah

PERHILITAN pasang perangkap buaya di tasik Serendah - huluselangor.com

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor melancarkan operasi memasang perangkap susulan kehadiran seekor buaya yang dikesan di Tasik Kiambang, Serendah, di Hulu Selangor.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, operasi yang bermula pada awal bulan ini akan berlangsung sehingga haiwan liar itu masuk ke dalam perangkap.

“Kami menerima aduan awam berhubung kehadiran buaya di tasik ini yang berhampiran dengan kawasan penempatan dan popular untuk pemancing.

“Hasil pemerhatian secara langsung mengesahkan kehadiran buaya itu yang dianggarkan sepanjang lima ke enam kaki (1.5 ke 1.8 meter),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Mohd Adib berkata, sebelum itu aduan pertama diterima pada Disember tahun lalu dan pemantauan segera dijalankan.

Beliau berkata, aduan seterusnya diterima November lalu dan perkara itu disahkan menerusi pemerhatian secara langsung.

“Pemasangan perangkap ini untuk tujuan keselamatan awam dan translokasi buaya tersebut ke kawasan habitat lain.

“Orang awam terutamanya pemancing  diminta berwaspada dan berhati-hati semasa melakukan aktiviti. PERHILITAN akan terus memantau tasik tersebut sehingga buaya itu berjaya diselamatkan demi menjamin keselamatan orang awam,” katanya.

HomeBERITAALAM SEKITARPERHILITAN pasang perangkap buaya di tasik Serendah

Berkaitan

POPULAR