HomeBERITAALAM SEKITARSelangor rancang wujudkan 'trail' 120 km dari Hulu Selangor ke Hulu Langat

Selangor rancang wujudkan ‘trail’ 120 km dari Hulu Selangor ke Hulu Langat - huluselangor.com

Kemasukan orang awam ke kawasan hutan yang digazetkan itu akan dikawal bagi memastikan kualiti biodiversiti terpelihara.

SHAH ALAM: Kerajaan negeri merancang mewujudkan laluan (trail) sepanjang 120 kilometer merentasi Central Forest Spine (CFS) dari Hulu Selangor hingga ke Hulu Langat.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia sebahagian daripada perancangan menjadikan 26 kawasan hutan simpan kekal (HSK) yang diisytihar sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor sebagai antara tarikan pelancong terutama penggemar aktiviti lasak seperti mendaki serta merentas hutan.

Bagaimanapun katanya, kemasukan orang awam ke kawasan hutan yang digazetkan itu akan dikawal bagi memastikan kualiti biodiversiti terpelihara.

“Menariknya, jalan yang disusun atur (Jabatan Perhutanan Selangor) sejauh 120 kilometer dan kalau itu betul-betul dibuat, ia akan menjadi salah satu daripada tarikan pelancongan terutama mereka yang sangat rapat aktiviti merentas hutan dan mendaki.

“Itu boleh menjadi produk (pelancongan) di masa depan, tetapi sudah pasti kena kawal jumlah kemasukannya kerana ia akan memberi impak terus terhadap kualiti hutan, kalau kita benarkan terlalu ramai masuk (hutan) ia akan kurang kawalan kebersihan, penjagaan, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, di sini, hari ini.

Terdahulu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan 108,000 hektar yang membabitkan 26 kawasan HSK sebagai Hutan Warisan Diraja Selangor.

Perisytiharan dibuat bagi menjadikan kesemua kawasan HSK di bawah Hutan Taman Negeri itu dijadikan hutan yang merangkumi aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, rekreasi, dan eko-pelancongan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri akan memudahkan pendaftaran dan kawalan kemasukan ke kawasan HSK sebagai usaha memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran kepentingan penjagaan hutan.

“Semalam, saya berada di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) yang mana sekarang untuk masuk, anda boleh daftar melalui aplikasi tanpa perlu beratur di kaunter. Boleh juga beratur tetapi lebih baik dengan aplikasi sebab boleh kawal jumlah pengunjung naik dan turun (keluar dan masuk).

“Yang menarik, kita turut menjalin kerjasama dengan Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) Telekom Malaysia (TM) bagi membangunkan perisian untuk memantau aktiviti dalam hutan yang mana mereka membangunkan satu perisian untuk memantau keadaan hutan. Jadi, beberapa aktiviti dapat dikesan termasuk kemasukan orang awam, pergerakan haiwan, kebakaran dan juga pelbagai aktiviti lain seperti tanah runtuh dengan sensor ataupun laporan diberikan.

“Jadi ‘dashboard’ itu akan diletakkan di Jabatan Hutan Selangor dan itu adalah sebahagian daripada proses ‘big data analysis’ yang diaturkan oleh jabatan berkenaan,” katanya.

HomeBERITAALAM SEKITARSelangor rancang wujudkan 'trail' 120 km dari Hulu Selangor ke Hulu Langat

Berkaitan

POPULAR