HomeBERITATumpahan cecair getah, tiada gangguan LRA, bekalan air terawat

Tumpahan cecair getah, tiada gangguan LRA, bekalan air terawat - huluselangor.com

HULU SELANGOR: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesahkan tiada gangguan kepada Loji Rawatan Air (LRA) dan bekalan air terawat susulan kejadian tumpahan cecair getah di Kilometer 435.4 Lebuhraya Utara Selatan (Plus) arah Utara, dari Rawang ke Sungai Buaya, malam tadi.

Luas dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja pembersihan dilakukan pasukan bomba dan Plus yang mengambil masa kira-kira lima jam dan selesai jam 3.40 pagi.

“Pemerhatian lanjut dilakukan bagi memastikan keseluruhan lokasi terbabit dan kawasan sekitarnya bebas daripada potensi dan risiko pencemaran sumber air,” katanya, hari ini.

Pada masa sama, penghargaan diberikan kepada bomba dan Plus yang berjaya mengawal risiko insiden daripada pencemaran kepada sumber air negeri dan komitmen melaksanakan kerja-kerja pembersihan sepenuhnya.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, sebuah lori membawa muatan cecair getah terbabit kemalangan menyebabkan satu tong cecair getah pecah dan tumpah di lorong kiri dan tengah lebuh raya.

Lori berkenaan membawa 15 tong cecair getah dengan setiap satu tong mempunyai satu tan dan anggaran keseluruhan muatan sebanyak 15 tan.

Susulan itu, pasukan bomba Rawang bersama PLUS dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengawal tumpahan dengan meletakkan serbuk kayu serta membuat halangan supaya sisa cecair getah tidak memasuki longkang berhampiran.

Semakan awal mendapati lokasi kemalangan terletak bersebelahan Sungai Serendah dan ia berpotensi mengakibatkan pencemaran sumber air di Sungai Selangor.

Ia dijangka boleh memberi kesan kepada LRA Rantau Panjang pada jarak 17.7 kilometer dan LRA Sungai Selangor (SSP) Fasa 1, 2 serta 3 pada jarak sekitar 24 kilometer sekiranya tumpahan tidak dibersihkan sepenuhnya.

 

HomeBERITATumpahan cecair getah, tiada gangguan LRA, bekalan air terawat

Berkaitan

POPULAR