HomeBERITAALAM SEKITARSultan Selangor isytihar Hutan Warisan Diraja Selangor seluas 108,000 hektar

Sultan Selangor isytihar Hutan Warisan Diraja Selangor seluas 108,000 hektar - huluselangor.com

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan pemasyhuran Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS) melibatkan 26 buah Hutan Simpan Kekal seluas 108,000 hektar, hari ini.

Pengisytiharan itu selaras titah Sultan Sharafuddin sebelum ini yang mahu menjadikan suatu kawasan hutan yang mencakupi aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, reakreasi, eko-pelancongan dan sebagainya.

Turut berangkat pada majlis tersebut adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, idea bagi memperkenalkan konsep hutan itu susulan kunjungan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) yang mengadap Sultan Sharafuddin bagi mempersembahkan taklimat mengenai penyediaan Pelan Induk Pembangunan HWDS pada 16 Mac lalu di Istana Bukit Kayangan, di sini.

Katanya, Sultan Selangor berkenan menitahkan supaya diadakan satu majlis pengisytiharan HWDS dan mengadakan Ekspedisi Saintifik di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor.

“Ini bagi mengenalpasti taburan spesies biodiversiti flora dan fauna yang boleh didapati di kawasan hutan tersebut.

“Antara tiga buah HSK yang diisytihar sebagai HWDS ialah Hutan Simpan Hulu Selangor, Hutan Simpan Hulu Langat dan Hutan Simpan Hulu Gombak,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengisytiharan HWDS serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, di sini hari ini.

Amirudin menjelaskan kerajaan negeri sentiasa konsisten dalam memelihara dan melindungi khazanah hutan di negeri selaras fungsinya sebagai kawasan tadahan air, habitat flora dan fauna, kawalan hakisan dan banjir selain menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.

“Sehingga kini, keseluruhan kawasan HSK di Selangor adalah seluas 250,739.33 hektar, iaitu 31.7 peratus daripada keluasan tanah negeri.

“Keluasan HSK ini didapati telah semakin meningkat berbanding hanya 30.55 peratus pada tahun 2008,” jelasnya.  – SELANJUTNYA

HomeBERITAALAM SEKITARSultan Selangor isytihar Hutan Warisan Diraja Selangor seluas 108,000 hektar

Berkaitan

POPULAR