Home Blog Page 5

Solat dhuha, hajat & bacaan surah Al- Kahfi peringkat IPD Hulu Selangor

0

Hulu Selangor, 15 Disember 2023 (Jumaat ) – Telah diadakan program solat Dhuha, Hajat & bacaan Surah AL – Kahfi peringkat IPD Hulu Selangor bertempat di Musolla Polis IPD Hulu Selangor

Majlis dipimpin oleh Ybhg. Ustaz Mohamad Farhan b Khalid daripada Bips Hulu Selangor. Bacaan surah Al-Kahfi dipimpin Oleh Insp Mohd Afiq bin Ishak.

Memohon dipermudahkan urusan dan perlindungan dari yang Maha Esa. Mengeratkan tali Silaturahhim warga IPD Hulu Selangor, aplikasikan bacaan Al-Quran melalui bacaan surah Al-Kahfi. Majlis berjalan dengan baik dan lancar.

Majlis dihadiri YDH Supt Ahmad Faizal Bin Tahrim – Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Mohd Asri Bin Mohd Yunus – Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor , Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam IPD Hulu Selangor.

Banjir: Dua PPS dibuka di Kuala Selangor

0

Sebanyak 75 orang daripada 26 keluarga mangsa banjir di Kuala Selangor dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak malam tadi susulan hujan lebat petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, memaklumkan kesemua mereka berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Jaya Setia dan Balai Raya Parit Mahang.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan aras sungai Sungai Bernam di Kampung Sungai Selisek, Hulu Selangor pula melepasi paras bahaya dengan 27.1 meter, namun dalam trend menurun setakat 9 pagi ini.

Kes baharu Covid-19 meningkat, namun terkawal – KP Kesihatan

0

Sebanyak 12,757 kes COVID-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) iaitu bagi tempoh 3 hingga 9 Dis, berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata secara keseluruhan keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada walaupun terdapat peningkatan kes baharu.

Beliau berkata majoriti kes COVID-19 di Malaysia hanya mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 (termasuk pesakit disyaki COVID-19) ke fasiliti kesihatan bagi penggunaan katil bukan kritikal dan penggunaan katil di Unit Rawatan rapi (ICU) masing-masing meningkat kepada 1.4 peratus pada ME49/2023 berbanding ME 48/2023.

“Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) juga meningkat kepada 0.5 peratus dan secara keseluruhan peratus kes kematian COVID-19 dari 25 Jan 2020 hingga 9 Dis 2023 adalah 0.72 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata trend peningkatan kes COVID-19 juga dilaporkan berlaku secara global termasuk di beberapa negara jiran dan di Malaysia, peningkatan itu seiring dengan trend yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara lain.

Beliau berkata dalam tempoh ME 49/2023, sebanyak 26 varian Omicron baharu dilaporkan terdiri daripada 21 kes varian membimbangkan (VOC) dan lima kes varian mempunyai kepentingan (VOI).

“Sehingga kini, tiada varian baharu dikesan di Malaysia. Varian yang masih menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvarian XBB.1.16, XBB.1.5 dan EG.5.

“Walaupun varian ini diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, ia tidak menyebabkan kes yang teruk,” katanya.

Pada masa sama, Dr Muhammad Radzi menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan penularan wabak itu termasuk memastikan tahap kebersihan diri yang tinggi, memakai pelitup muka bagi individu bergejala dan mendapatkan dos primer vaksin serta dos penggalak vaksin COVID-19. – SETERUSNYA

MPHS sedia tong sampah pukal di 18 lokasi terpilih sempena Krismas

0

Warga Hulu Selangor yang mahu membuang perabot lama atau barangan secara pukal boleh menggunakan kemudahan tong sampah Roll On Roll Off (RORO) di 18 lokasi terpilih.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) memaklumkan perkhidmatan yang bermula hari ini hingga 21 Disember disediakan secara percuma untuk penduduk sempena perayaan Krismas.

“Penyediaan tong RORO berkapasiti tiga tan ini ditempatkan di sekitar Hulu Selangor iaitu di Batang Kali, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Kuala Kubu Bharu dan lain-lain kawasan.

“Sasaran utama lokasi penempatan roro adalah di kawasan komuniti masyarakat dan penduduk yang menyambut perayaan Krismas,” katanya di Facebook.

MPHS memaklumkan sampah pukal yang boleh dibuang termasuk perabot lama seperti almari, sofa, tilam dan katil serta barangan elektrik berupa radio, televisyen, pengecas bateri, telefon bimbit dan sampah kebun.

“Sampah sisa domestik atau sampah dapur seperti sisa makanan adalah dilarang sama sekali untuk dibuang kedalam tong RORO ini.

“Diharap penduduk memberikan kerjasama dengan membuang sampah pukal ke dalam tong RORO yang disediakan bagi memudahkan pihak kontraktor membuat kutipan dan menjaga kawasan sekitar agar dalam keadaan bersih dan selesa,” katanya.

Hubungi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam MPHS di talian 03-6064 1050 unutk sebarang pertanyaan berhubung perkhidmatan tong RORO. – SETERUSNYA

PERHILITAN pasang perangkap buaya di tasik Serendah

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor melancarkan operasi memasang perangkap susulan kehadiran seekor buaya yang dikesan di Tasik Kiambang, Serendah, di Hulu Selangor.

Pengarahnya, Wan Mohd Adib Wan Mohd Yusoh berkata, operasi yang bermula pada awal bulan ini akan berlangsung sehingga haiwan liar itu masuk ke dalam perangkap.

“Kami menerima aduan awam berhubung kehadiran buaya di tasik ini yang berhampiran dengan kawasan penempatan dan popular untuk pemancing.

“Hasil pemerhatian secara langsung mengesahkan kehadiran buaya itu yang dianggarkan sepanjang lima ke enam kaki (1.5 ke 1.8 meter),” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Mohd Adib berkata, sebelum itu aduan pertama diterima pada Disember tahun lalu dan pemantauan segera dijalankan.

Beliau berkata, aduan seterusnya diterima November lalu dan perkara itu disahkan menerusi pemerhatian secara langsung.

“Pemasangan perangkap ini untuk tujuan keselamatan awam dan translokasi buaya tersebut ke kawasan habitat lain.

“Orang awam terutamanya pemancing  diminta berwaspada dan berhati-hati semasa melakukan aktiviti. PERHILITAN akan terus memantau tasik tersebut sehingga buaya itu berjaya diselamatkan demi menjamin keselamatan orang awam,” katanya.

Tiga rumah flat di Rawang terbakar

0

RAWANG: Kebakaran di Blok 4 Bukit Rawang Jaya di sini, awal pagi tadi memusnahkan tiga rumah flat.

Kebakaran pada jam 3.55 (10/12/2023) pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan mangsa.

Menurut kenyataan Pasukan Gerakan Operasi (PGO)  Selangor,  operasi pemadaman membabitkan seramai 28 anggota dan dua jentera dari Balai Bomba serta Penyelamat Bukit Sentosa dan Selayang.

“Berdasarkan laporan awal, semasa sampai di lokasi didapati kebakaran melibatkan rumah flat empat tingkat yang terbakar di tingkat empat dan melibatkan tiga buah rumah.

“Peratus kebakaran rumah tengah adalah 100 peratus, rumah kiri 40 peratus manakala rumah kanan 20 peratus,” ujarnya dalam kenyataan.

Katanya, api dapat dikawal kira-kira jam 4.23 pagi.

🎦 Perhilitan Selangor sahkan kehadiran buaya di Tasik Kiambang Serendah

HULU SELANGOR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor mengesahkan kehadiran seekor buaya di Tasik Kiambang, Serendah susulan menerima aduan awam berkaitan kelibat reptilia tersebut.

Sehubungan itu, pihaknya menjalankan operasi memasang perangkap buaya yang dianggarkan berukuran lima hingga enam kaki.

“Tasik ini berhampiran dengan penempatan dan kawasan popular untuk pemancing.

“Seramai 20 anggota Perhilitan Selangor terlibat dalam operasi tangkapan ini yang menggunakan umpan daging ayam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai menampakkan ‘sang bedal’ yang mencetuskan kebimbangan orang awam terutamanya penduduk apartment Saujana berhampiran tasik berkenaan.

Justeru, Perhilitan Selangor menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan berhati-hati semasa melakukan sebarang aktiviti di kawasan tersebut.

“Sehingga kini, kami masih membuat pemantauan di sekitar tasik sehinggalah buaya ini berjaya ditangkap,” ujarnya.

Lelaki ditahan bersama air ketum di Batang Kali

KEJAYAAN TANGKAPAN (1) LELAKI WARGA TEMPATAN TERLIBAT DALAM KES KETUM

HULU SELANGOR, Pada jam lebih kurang 1800 hrs 08.12.2023, sepasukan Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Hulu Selangor telah berjaya menahan dan menangkap (1) lelaki warga tempatan di kawasan Batang Kali, Hulu Selangor.

Hasil pemeriksaan yang telah dijalankan telah menjumpai dan merampas (1) botol plastik lutsinar berisi cecair disyaki air ketum. Berikutan kejayaan ini, pihak Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Hulu Selangor telah membuka kertas siasatan di bawah Sek.30(3) AR 1952.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor memohon dan menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan dadah, jenayah dan sebarang aktiviti yang mencurigakan untuk tampil atau menyalurkan maklumat ke Pusat Kawalan Daerah, Balai-balai berdekatan atau FB messenger Polis Dearah Hulu Selangor. PDRM Hulu Selangor akan mengambil tindakan segera keatas setiap maklumat serta aduan yang diterima tanpa sebarang kompromi serta prejudis. Kerjasama daripada masyarakat amat dialu-alukan bagi mengekalkan persekitaran yang kondusif serta selamat selaras dengan moto pasukan PDRM *Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada*

#makehuselsecure
#PolisDaerahHuluSelangor

 

Jangan bimbang, ‘white lung’ bukan wabak baharu

0

Peningkatan kes penyakit pernafasan dan pengesanan radang-radang paru-paru misteri dikenali `white lung syndrome’ atau sindrom tompokan putih paru-paru khususnya di utara China, tidak perlu dibimbangkan secara keterlaluan kerana ia tidak menunjukkan potensi wabak baharu.

Pakar Epidemiologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata sindrom berkenaan yang dikesan hasil imbasan X-ray pada paru-paru itu juga, terlalu umum dan tidak merujuk secara khusus kepada mana-mana penyakit.

Katanya, setakat ini kebanyakan penulisan atau jurnal perubatan tidak melaporkan potensi wabak baharu sekali gus hanya menunjukkan gejala penyakit sedia ada.

“Justeru, kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa ini memadai untuk berdepan pelbagai kemungkinan.

“Penularan penyakit juga belum terjadi, jadi kita tidak perlu risau keterlaluan. Dari segi epidemiologi, ia tidak menunjukkan tanda-tanda seperti perebakan jangkitan COVID-19 pada hujung 2019,” katanya.

Beberapa hari lalu, pakar kesihatan di Paris menasihatkan orang ramai supaya tidak mencetuskan ‘panik pandemik’ susulan peningkatan kes penyakit pernafasan di utara China khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Perkembangan itu secara langsung mencetuskan spekulasi dalam talian mengenai ancaman pandemik baharu, empat tahun selepas COVID-19 pertama kali muncul di Wuhan, China.

Pihak berkuasa China mengatakan peningkatan kes radang paru-paru misteri disebabkan berakhirnya sekatan COVID-19, ketibaan musim sejuk dan peredaran patogen yang diketahui termasuk influenza, `mycoplasma pneumonia’, `respiratory syncytial virus’ (RSV) dan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.

Mengulas lanjut, Dr Malina berkata penyebaran penyakit pneumonia misteri itu juga disebabkan banyak faktor.

Katanya, jangkitan penyakit pernafasan itu boleh dielakkan dengan menjalani gaya hidup sihat, menjaga kebersihan diri dan persekitaran.

Sementara itu, Penasihat di Jabatan Peningkatan Kualiti dan Keselamatan Pesakit Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata sindrom tompokan putih paru-paru itu adalah sejenis jujukan baharu bakteria mycoplasma pneumoniae yang biasa menyebabkan keradangan paru-paru.

“la dipanggil sedemikian disebabkan kewujudan tompok putih di dalam imbasan X-ray pada dada kanak-kanak dijangkiti bakteria terbabit.

“Terma sindrom ‘white lung’ ini merangkumi penyakit salur pernafasan seperti `Acute Respiratory Distress Syndrome’ (ARDS) yang disebabkan bakteria dalam darah, radang paru-paru dan juga trauma, selain terdapat garam calcium di dalamparu-paru boleh menyebabkan batuk, sukar bernafasa dan sakit dada berpunca daripada `pulmonary alveolar microlithiasis’ (PAM).

“Selain itu, ia disebabkan `silicosis’ menerusi kehadiran debu silika yang terdapat di dalam batu, pasir dan juga bahan lain,” katanya.

Mengulas mengenai pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang bermula Jumaat lalu, Dr Khalid yang juga bekas Pengarah Kesihatan Selangor berkata, tahap keselamatan di pintu masuk perlu diketatkan seperti alat pengimbas haba, menggalakkan pemakaian pelitup muka dan diwajibkan suntikan influenza dari negara asal.

“Bagi kanak-kanak tempatan pula, mereka digalakkan mengambil suntikan vaksin bagi yang berumur enam bulan ke atas ke atas manakala murid sekolah digalakkan menggunakan pelitup muka dan sering menggunakan cecair pembasmi kuman.

“Begitu juga dengan individu dewasa, mereka disarankan memakai pelitup muka kerana musim jangkitan influenza tinggi di antara November hingga Mac selain Julai hingga September,” katanya.

Ely, Bera disahkan bunting

0

HULU SELANGOR – Pusat Konservasi Hidupan Liar (PHKL) Sungai Dusun, Kuala Kubu Baru menerima khabar gembira apabila dua tapir Malaya bernama Ely dan Bera disahkan bunting pada Jumaat.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam kenyataannya berkata, pihaknya menerusi pasukan Wildlife Reproductive Biotechnology (WRB) dan kakitangan PKHL melakukan pemeriksaan terhadap tiga tapir betina.

Menurutnya, hasil pemeriksaan menerusi imbasan X mendapati dua daripadanya yang diberi nama Ely dan Bera disahkan bunting.

“Ia dianggap berita gembira bukan saja kepada kami, malah rakyat Malaysia kerana tapir Malaya kian pupus dan merupakan spesies dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kenyataan itu memberitahu, tempoh bunting tapir antara 390 hingga 400 hari atau 13 bulan.

“Ely dianggarkan melahirkan anak pada pertengahan Februari tahun depan manakala Bera pada Julai tahun sama.

“Kami berharap dua tapir betina ini selamat melahirkan ‘cahaya mata’ mereka sekali gus menambah populasi spesies berkenaan,” ujar kenyataan itu.