[Video] Berbuka sambil lihat matahari terbenam di Sungai Kelantan

0
324

KOTA BHARU: Berbuka puasa sambil melihat matahari terbenam di Dataran Lembah Sireh berhampiran tebing Sungai Kelantan, di sini menjadi trend terbaharu dalam kalangan rakyat negeri ini sejak awal Ramadan lalu.

Tinjauan semalam mendapati, kawasan lapang itu sesak dengan ribuan pengunjung yang datang seawal pukul 4.30 petang untuk menghampar tikar atau kain alas bagi ‘menanda’ kawasan masing-masing.

Difahamkan, selepas tular di media sosial minggu lalu, ada yang sanggup datang dari jauh seperti Pasir Puteh dan Tanah Merah bersama rakan atau keluarga semata-mata mahu berbuka sambil menikmati panorama senja di situ.

Penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Muhammad Noor Aiman Mat Hassan, 22, berkata, dia membawa rakan kampus dari luar Kelantan ke situ untuk memperkenalkan lokasi menarik di negeri ini.

“Kami beli juadah di Bazar Ramadan Stadium Sultan Muhamad IV sebelum bawa makanan tersebut ke Dataran Lembah Sireh untuk berbuka puasa.

“Tak sangka tebing Sungai Kelantan padat dengan orang ramai awal-awal lagi tetapi pengunjung tetap berpusu-pusu masuk ke situ sehingga melimpah ke kawasan berhampiran,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, rakannya, Puteri Nur Anis Megat Jaafar, 23, berkata, dia terkejut melihat ribuan pengunjung yang membanjiri Dataran Lembah Sireh bersama hamparan tikar masing-masing untuk berbuka puasa di situ.

“Kali pertama berbuka puasa di kawasan lapang membangkitkan rasa teruja. Saya juga seronok melihat suasana meriah namun semua masih mengekalkan jarak dan amalkan kebiasaan baharu bagi mengelak penularan Covid-19,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.