‘Tamparan’ tersirat #rakyatjagarakyat

0
584
‘Tamparan’ tersirat #rakyatjagarakyat

MUSIBAH bah besar yang melanda negara sejak 18 Disember lalu menjadi saksi betapa rakyat Malaysia kala diuji dugaan yang memerlukan kebersamaan, kita memang juara.

Dahulu, orang kita cuma nampak sukan yang menyatukan rakyat Malaysia tanpa sempadan politik, bangsa dan agama, nampaknya bencana juga berkongsi ceritera sepunya.

Kagum penulis melihat di media sosial terutama pada 18 dan 19 Disember lalu apabila kalangan senarai kenalan, tidak kira rakan biasa, selebriti atau influencer, tidak henti-henti berkongsi atau menularkan segala ceruk yang sedang menagih bantuan selain menyalurkan maklumat kecemasan untuk dihubungi.

Bahkan, pada malam 18 Disember, ada yang seakan ‘berikrar’ tidak akan berhenti menularkan sesiapa sahaja yang sedang bergelut dengan bah sehingga mereka mendapat perhatian dan bantuan.

Situasi itu benar-benar bak cubit paha kanan, paha kiri terasa jua.

Bukan sahaja dalam berkongsi maklumat, bahkan rakyat Malaysia juga dengan pantas mahu memberikan bantuan.

Tidak terhad bantuan sebaran maklumat di Instagram, bahkan ramai yang pemurah menyumbangkan bantuan tenaga fizikal selain bantuan makanan, barangan keperluan mahupun kewangan.

Maka muncullah rakyat biasa seperti ‘Abang Viva’ yang diangkat sebagai wira banjir. Lelaki bernama Azwan Omar itu meninggalkan Melaka berbekalkan RM50 dengan sebuah kereta kecil Perodua Viva yang di bumbungnya ‘terpikul’ sebuah bot getah demi membantu mangsa banjir di Lembah Klang.

Rakyat Malaysia memang pemurah. Itu memang telah dibuktikan sejak tahun 2015 apabila Malaysia tersenarai dalam 10 negara paling pemurah atau dermawan berdasarkan kaji selidik Yayasan Bantuan Amal Dunia.

Seorang netizen tular dengan ciapannya: “Semua orang tengah struggle financial, tapi bila bab menderma memang rakyat Malaysia power weh. Tak dapat derma duit, kita derma tenaga. Massive respect to all Malaysian!”

Namun, semasa bencana yang berlaku mendadak ini jugalah tersebar luasnya tanda pagar #rakyatjagarakyat yang mungkin merupakan manifestasi rajuk rakyat secara umumnya kepada ahli politik, pemimpin, para Yang Berhormat (YB) dan seumpamanya yang dilihat ‘seolah-olah tiada’ ketika situasi mencabar ini.

Penulis bersetuju dengan kata-kata penganalisis politik, Sivamurugan Pandian yang menyifatkan slogan rakyat jaga rakyat itu semakin meluas disebabkan rakyat semakin sukar menerima tindak tanduk ahli politik.

Rakyat berhak berasa kecewa apabila pemimpin yang dijadikan sandaran ‘seolah-olah tiada’ sebaliknya sesama rakyat yang muncul ketika susah dan senang.

“#Rakyatjagarakyat semakin membesar disebabkan wujud kesukaran untuk mengurus persepsi ke atas pemimpin.

Rakyat berhak berasa kecewa apabila pemimpin diharapkan gagal mengurus musibah. Orang ramai merasakan rakyat boleh bergantung antara satu sama lain,” katanya kepada satu portal baru-baru ini.

Bagi penulis, slogan itu harus dijadikan sebagai wake up call kepada para ahli politik dan pemimpin untuk kembali memenangi hati rakyat. Jika dibiar berterusan, takut langsung jelak, muak dan tawar hati. Nampak gayanya banyak perkara perlu diselesaikan para ahli politik sebelum Pilihan Raya Umum akan datang.

BACA juga:

Original Article

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.