HomeDUNIASingapura tandatangani perjanjian dapatkan pil antiviral Molnupiravir

Singapura tandatangani perjanjian dapatkan pil antiviral Molnupiravir - huluselangor.com

SINGAPURA: Singapura menandatangani perjanjian pembekalan dan pembelian pil antiviral Molnupiravir, yang mampu mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19.

Ia juga dikatakan berkesan merawat semua varian COVID-19 termasuk varian Delta.

Menurut kenyataan syarikat farmaseutikal MSD, perjanjian itu dicapai bagi menyediakan pil antiviral bagi merawat COVID-19, sebaik sahaja ia dibenarkan atau diluluskan.

Ubat itu yang dibangunkan hasil kerjasama dengan Ridgeback Biotherapeutics, buat masa ini sedang dinilai melalui dua ujian klinikal Fasa 3, menurut syarikat itu dalam kenyataan medianya.

Ia dibangunkan firma farmaseutikal Merck di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada dengan kerjasama Ridgeback Biotherapeutics yang berpangkalan di Miami.

Pil anviral Molnupiravir, menyasarkan enzim yang diperlukan virus untuk membuat salinan dirinya sendiri dengan memperkenal kesilapan dalam kod genetiknya.

Enzim itu – yang dikenali sebagai polimerase virus – terdapat dalam varian yang berbeza, menjadikan molnupiravir berkesan bagi menentang varian Gemma, Delta dan Mu.

Data daripada ujian klinikal menunjukkan ubat itu paling berkesan apabila digunakan pada peringkat awal jangkitan, kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan MSD di Singapura dan Malaysia, Pang Lai Li, MSD yakin pelbagai ubat dan vaksin diperlukan untuk memberi kesan kepada pandemik, lapor agensi berita CNA.

“Perjanjian ini adalah satu lagi contoh strategi pengurusan pandemik Singapura yang berpandangan jauh dan komitmen Pemerintah untuk melabur dalam ubat-ubatan dan vaksin yang inovatif bagi memerangi pandemik,” katanya.

Dr Leong Hoe Nam, seorang pakar penyakit berjangkit di Klinik Rophi Hospital Mount Elizabeth Novena pula berkata, rawatan awal terhadap pesakit yang dijangkiti COVID-19 dengan gejala ringan hingga sederhana akan membawa satu perubahan yang ketara.

“Ia akan membataskan perkembangan kepada penyakit yang lebih teruk terutama dalam kalangan pesakit berisiko tinggi.

“Lebih penting lagi, kita boleh menyediakan petugas barisan hadapan dengan ubat oral yang boleh membuat perubahan ketika diagnosis.

“Ini mungkin mengalihkan rawatan daripada hospital kepada pengamal perubatan am dan poliklinik ketika Singapura beralih ke arah hidup dengan COVID-19 dalam keadaan endemik,” katanya. – AGENSI

HomeDUNIASingapura tandatangani perjanjian dapatkan pil antiviral Molnupiravir

Berkaitan

POPULAR