PRN Melaka: Penamaan calon 8 November, mengundi 20 November

0
288
PRN Melaka: Penamaan calon 8 November, mengundi 20 November

MELAKA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November ini sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi mengisi kekosongan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, PRN terpaksa diadakan selepas pihaknya menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertuan DUN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berhubung pembubaran DUN ke-14 pada 4 Oktober lalu, sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan negeri.

Sehubungan itu, menurutnya, SPR telah menetapkan hari penamaan calon pada 8 November manakala hari mengundi awal pula adalah 16 November.

Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah selama 12 hari bermula selepas penamaan calon sehingga pukul 11.59 malam, 19 November.

Katanya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan adalah Daftar Pemilih Tambahan yang dikemas kini sehingga 3 Oktober lalu.

Daftar tersebut, jelas beliau, mengandungi 495,196 pengundi terdiri daripada 482,550 pengundi biasa, 10,191 anggota tentera dan pasangan, 2,349 anggota polis serta 106 pengundi tidak hadir luar negara.

“Bagi urusan permohonan pengundi pos di luar dan dalam negara bermula 20 Oktober ini. Bagi pengundi luar negara dan sembilan agensi sektor keselamatan, tarikh tutup mengundi pada 1 November.

“Bagi petugas media, pilihan raya, pegawai SPR, polis dan anggota tentera pula tarikh tutup mengundi pada 3 November,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Doubletree By Hilton, Banda Hilir di sini hari ini.

Abdul Ghani menambah, permohonan pengundi pos akan dilaksanakan secara dalam talian dan bukannya seperti sebelum ini.

Tegasnya, setiap pemohon perlu mendaftarkan akaun ‘MySPR Daftar’ terlebih dahulu, sebelum boleh memohon sebagai pengundi pos.

“Permohonan untuk mengundi pos boleh dilakukan melalui MySPR Daftar di pautan https://mysprdaftar.spr.gov.my,” jelasnya.

“Bagi kelayakan pengundi pos kategori luar negara yang dilaksanakan sebelum ini telah dimansuhkan antaranya ialah bermastautin di luar negara kecuali wilayah Selatan Thailand (Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Satun), Singapura, Brunei dan Kalimantan, Indonesia,” ujarnya.

Abdul Ghani menambah, sebanyak 28 pusat penamaan calon (PPC) dan 28 pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) akan digunakan, manakala 217 pusat mengundi biasa pula mengandungi 1,109 tempat mengundi (saluran) dan 31 pusat mengundi awal menggunakan 47 tempat mengundi.

“Semua 217 pusat mengundi biasa akan dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang, manakala pusat mengundi awal pula dibuka dari 8.00 pagi hingga 2.00 petang. Baki pusat mengundi awal akan dibuka dari 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

“Seramai 12,290 petugas akan dilantik untuk mengendalikan proses PRN manakala 28 penguatkuasa kempen pilihan raya terdiri daripada polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon akan memantau semua aktiviti sepanjang tempoh kempen pilihan raya ditetapkan,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.