Pemandu van sekolah yang ditahan selepas dipercayai melanggar seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun hingga maut di Taman Seroja, Sepang semalam dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang Supt Md Noor Aehwan Mohammad berkata pihaknya telah mengambil keterangan pemandu wanita berusia 31 tahun itu dan kertas siasatan berhubung kemalangan tersebut telah dibuka.
“Siasatan awal mendapati, van yang digunakan oleh pemandu tersebut juga mempunyai cukai jalan yang sah. Siasatan lanjut masih lagi dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kanak-kanak perempuan tersebut maut dilanggar van sekolah ketika melintas di hadapan kenderaan itu untuk memasuki rumah transit di Taman Seroja kira-kira 12.10 tengah hari.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu van menghantar mangsa ke rumah transit sebelum ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).
Mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Nilai, Negeri Sembilan namun meninggal dunia ketika menerima rawatan dan mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, kata Md Noor Aehwan.
– Bernama