Home Blog Page 8

Bomoh didakwa cabul, rogol remaja perempuan 15 tahun

MUAR — Seorang pengamal perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual dan rogol terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun antara November tahun lepas sehingga Julai tahun ini.

Mengikut pertuduhan pertama, Zemi Rahim, 50, didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berkenaan yang ketika itu berusia 14 tahun, dalam sebuah bilik air di sebuah rumah di Kampung Tengah Paya Redan, Pagoh, dekat sini, November tahun lepas.

Bagi pertuduhan tersebut, lelaki itu yang juga jurulatih Muay Thai didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan kedua hingga keempat pula, tertuduh didakwa merogol mangsa yang juga pesakitnya, di alamat sama pada November tahun lepas, April 2023 serta Julai tahun ini, didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Daniel Munir sebelum itu memohon mahkamah supaya tidak membenarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan satu jenayah berat dan serius, serta melakukan perbuatan keji itu berulang kali mengakibatkan mangsa kini hamil empat bulan.

Bagaimanapun katanya sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah jaminan RM7,500 bagi setiap pertuduhan serta beberapa syarat tambahan termasuk menyerahkan pasport kepada mahkamah serta tidak berkomunikasi dengan mangsa.

Hakim Irwan Suaibon bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh, yang tidak diwakili peguam selain menetapkan 12 Dis sebagai sebutan kes dan penyerahan laporan penuh perubatan dan laporan kimia.

Tertuduh sebelum ini pernah didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka atas empat pertuduhan melakukan amang seksual ke atas seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun, pada Oktober lepas.

Kanak-kanak lemas di resort Kalumpang

HULU SELANGOR: Kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun ditemukan lemas selepas tersepit di celah batu ketika mandi di sungai di sebuah resort di Kalumpang, di sini, 7 September 2022.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan Suffian Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.40 petang daripada pegawai perubatan berusia 34 tahun.

“Ibu bapa kanak-kanak itu memaklumkan anak mereka tersepit di celah batu ketika mandi di sungai. Orang awam yang berada di tempat kejadian cuba memberikan bantuan pernafasan (CPR) namun gagal,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Suffian berkata, hasil siasatan mendapati kanak-kanak perempuan itu lemas di sungai yang berkedalaman kira-kira 0.6 meter.

“Bedah siasat dijalankan Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) mendapati punca kematian mangsa adalah lemas. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

[VIDEO] 2 mangsa lemas di Sungai Triang ditemukan

KUANTAN: Mayat remaja dan kanak-kanak lelaki yang dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong, Bera pada Selasa lepas, masing-masing ditemukan pada malam dan awal pagi tadi 18 Ogos 2022.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata mayat Muhammad Nik Iqmal Shah Ismail, 15, ditemukan pada 10.30 malam, kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

Mayat Muhammad Danial Irsyad Norazlan, 11, pula dijumpai terapung oleh orang awam pada 1.30 pagi, juga kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian.

Kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada 3.30 petang Selasa, kedua-dua mangsa dipercayai telah dihanyutkan arus deras selepas terlepas daripada pelampung semasa mandi di sungai itu bersama beberapa rakan sekolah.

 

Bekas peguam dipenjara rakam video wanita mandi

0

Seorang bekas peguam di Singapura dijatuhi hukuman penjara 12 minggu oleh Mahkamah Singapura hari ini selepas mengaku bersalah merakam video seorang wanita yang sedang mandi.

Timbalan Pendakwa Raya, Yvonne Poon, berkata dalam kejadian 23 November 2020, lelaki berusia 32 tahun itu dikatakan memanjat balkoni jirannya untuk merakam video mangsa mandi melalui tingkap tandasnya.

Bagaimanapun, sebelum sempat lelaki itu merakam video, mangsa menyedarinya dan menjerit.

Akibatnya, lelaki itu melarikan diri ke rumahnya tanpa sempat melakukan rakaman.

Mangsa memberitahu suaminya dan mereka bersemuka dengan lelaki terbabit, sebelum suspek meminta maaf dan merayu supaya perkara itu tidak diperbesarkan.

Suami mangsa memeriksa kandungan telefon lelaki itu dan mendapati tiada rakaman lain di dalam telefonnya, namun tetap melaporkan kepada pihak polis.

Berdasarkan siasatan polis, lelaki itu mengakui sudah merakam video mangsa yang sedang mandi sejak beberapa bulan lalu dan kemudian memadamnya.

Tindakan dilakukan itu disebabkan tekanan kerja sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Sementara itu, peguam bela tertuduh, Shashi Nathan, berkata anak guamnya sudah meninggalkan profesion guaman dan kini bekerja di sebuah syarikat swasta.

Nama lelaki itu tidak didedahkan atas sebab tertentu dan kini turut menghadapi dua lagi pertuduhan pencerobohan jenayah dan sedang dipertimbangkan untuk dijatuhkan hukuman. – AGENSI

Umpan makan sate sebelum rogol bergilir-gilir

Perdaya untuk bawa makan sebelum seorang remaja perempuan dirogol bergilir-gilir oleh tiga remaja lelaki di sebuah rumah di Damansara Damai Jumaat lalu.

Itu nasib malang menimpa mangsa berusia 19 tahun apabila terpedaya dengan ajakan rakan lelakinya yang konon ingin membawanya makan sate.

Menurut sumber, suspek pada mulanya memberitahu mangsa yang dia ingin makan sate bersama dan meminta wanita terbabit datang ke rumahnya sekitar jam 1 pagi.

“Suspek memberi alasan ingin pergi bersama-sama menyebabkan mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus ke rumahnya.

“Bagaimanapun ketika tiba di rumah, suspek meminta mangsa masuk ke dalam terlebih dahulu,” katanya.

Sumber berkata, tidak lama kemudian mangsa diminta masuk ke dalam bilik konon takut dimarahi rakan serumah suspek jika melihat ada wanita lain.

“Bagaimanapun nasib malang menimpa mangsa apabila dia diperkosa lelaki terbabit ketika berada di dalam bilik.

“Tidak cukup dengan itu dua lagi lelaki turut memperkosa mangsa,” katanya.

Menurut sumber lagi, malah mangsa yang merayu dilepaskan nyaris dipukul dengan topi keledar.

“Mangsa yang ketakutan kemudian menghubungi rakannya meminta pertolongan selepas suspek keluar dari rumah itu.

“Remaja terbabit hanya dilepaskan sekitar jam 5 pagi sebelum diselamatkan rakan dan bapanya sebelum dia tampil membuat laporan di Balai Polis Sri Damansara,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan kejadian itu dan ketiga-tiga suspek sudah ditahan bagi membantu siasatan.

Gempa bumi lemah melanda Kundasang

0

Satu gempa bumi lemah berukuran 3.1 pada skala Richter dikesan melanda Kundasang, Sabah pada 7.27 pagi 14 Ogos 2022.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), gempa pada jarak 13 kilometer (km) barat laut dari Ranau itu berlaku pada kedalaman 10 km.

Penilaian awal mendapati gegaran dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau dan pihak MetMalaysia akan terus memantau keadaan.

[VIDEO] 1 maut, 1 parah kemalangan 3 kenderaan

HULU SELANGOR: Wanita warga emas maut, seorang parah dan lima cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Sungai Choh menghala ke Bukit Sentosa hari ini (7 Ogos 2022).

Mangsa yang maut ialah Rohana Mohd Noor, 66 manakala parah pula ialah Norfarhanah Rahim, 34.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada 6.51 petang.

Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Sentosa dikejarkan ke tempat kejadian.

“Menurut laporan awal, kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dan sebuah Perodua Axia.

“Setibanya di lokasi, anggota mendapati terdapat dua mangsa wanita di dalam salah sebuah Perodua Alza.

“Seorang daripadanya parah manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Selayang dengan EMRS, sementara mangsa meninggal dunia pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Lima mangsa lain yang menaiki dua kereta lagi cedera ringan dan dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba.

“Bagaimanapun, maklumat kesemua mangsa yang cedera ringan itu tidak dapat dikenal pasti,” katanya.

[VIDEO] Tiga maut, empat cedera nahas tiga kenderaan di Rompin

KUANTAN — Tiga lelaki maut manakala empat cedera dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 126 Jalan Kuantan-Segamat di Rompin, dekat sini malam tadi (25 Ogos 2022).

Ketua Polis Daerah Rompin DSP Mohd Azahari Mukhtar berkata kemalangan pada pukul 8.50 malam itu  melibatkan sebuah treler, kereta Proton Iswara dan Perodua Axia.

“Mangsa yang maut ialah kelindan treler Abdul Raziz Mohdal, 40, dari Segamat, Johor; pemandu Iswara Mohd Khairol Md Tahir, 36, dan penumpang belakang kereta itu Zairulzaimy Jambi, 18, dengan kedua-duanya beralamat di Pekan, dekat sini,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu Mohd Khairol dari arah Segamat terbabas ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler, menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan dan melanggar kereta Axia yang juga dari arah Segamat.

“Impak kemalangan menyebabkan treler tersebut jatuh ke cerun di sebelah kanan jalan. Mangsa yang cedera termasuk pemandu treler, dua penumpang Iswara dan pemandu Axia,” katanya.

Mohd Azahari berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

[VIDEO] Pelajar perempuan gaduh sebab conteng meja

KLUANG – Dua pelajar perempuan sebuah sekolah menengah di sini dipanggil memberi keterangan kepada pihak polis susulan kejadian pergaduhan di Stadium Taman Kluang Barat di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 2.15 petang ketika pelajar terbabit sedang melakukan aktiviti sukan di stadium berkenaan.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian itu bermotifkan tidak berpuas hati kerana salah seorang daripada mereka menconteng meja di dalam kelas.

“Kejadian tersebut melibatkan dua pelajar perempuan berusia 15 tahun, siasatan awal berpunca daripada rasa tidak puas hati.

“Salah seorang pelajar disyaki menconteng meja belajar dalam kelas pada sebelah pagi membawa kepada pergaduhan di stadium tersebut,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdul Razak berkata, pelajar terbabit kemudiannya dilepaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular video berdurasi 40 saat menunjukkan sekumpulan pelajar perempuan memakai baju sukan bergaduh di Stadium Taman Kluang Barat di sini.

Menerusi rakaman itu, seorang pelajar menjerit disyaki menahan kesakitan selepas dipukul dan disepak seorang lagi pelajar yang lain.

[VIDEO] Pesakit psikiatri maut jatuh tingkat empat pasar raya

Alor Setar: Seorang lelaki warga emas yang juga pemegang kad rawatan psikiatri ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pasar raya di bandar raya ini hari ini.

Lelaki berusia 65 tahun itu ditemukan berlumuran darah di ruang legar pasar raya itu akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri berkata, kejadian dipercayai berlaku antara jam 10 hingga 10.30 pagi.

Beliau berkata, hasil maklumat awal mendapati pengawal keselamatan pasar raya terbabit ternampak lelaki berkenaan dalam keadaan mencurigakan di tingkat empat bangunan itu.

“Pengawal keselamatan terbabit cuba membantu tapi tidak sempat apabila lelaki itu terjun.

“Setakat ini siasatan awal polis menjurus kepada mati mengejut tetapi bergantung pada hasil bedah siasat terhadap mayat berkenaan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Superintendan Mohd Naim Asnawi.

Ahmad Shukri berkata, berdasarkan soal siasat terhadap keluarga lelaki itu mempunyai mempunyai kad rawatan psikiatri Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan baru menjalani rawatan susulan di hospital itu pada Isnin lalu.

“Dia yang tidak berkahwin dikatakan sering datang ke lokasi kejadian seorang diri.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk proses bedah siasat,” katanya.


Jika anda berasa tertekan atau ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan ini, sila hubungi talian hotline berikut:
Talian Kasih
Hotline: 15999
The Befrienders
Hotline: 03-76272929
Agape Counselling Centre Malaysia
Hotline: 03-77855955 or 03-77810800
Life Line Association Malaysia
Hotline: 03-42657995
Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk petugas barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.
Talian boleh dihubungi di 014-3223392, 011-63996482, 011-63994236 atau 03-29359935, dari 8 pagi ke 5 petang.