MoU kerajaan-PH sah tidak disambung

0
310

Memorandum persefahaman antara kerajaan dan Pakatan Harapan yang dikatakan akan tamat pada 31 Julai tidak akan disambung, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail yang juga naib presiden Umno berkata gabungan pembangkang dimaklumkan tentang ketetapan partinya untuk tidak menyambung perjanjian yang dimeterai pada 13 September 2021 itu, dan kedua-dua pihak bersetuju “tidak perlu ada perjanjian baharu”.

“Tak penting sama ada MoU bertulis atau tidak, tapi yang lebih penting adalah kesefahaman untuk beberapa isu tertentu,” katanya kepada pemberita.

Antara kesefahaman yang dicari Ismail adalah pindaan Perlembagaan bagi menangani isu lompat parti dan pendanaan politik.

“Persefahaman demi kepentingan rakyat kita boleh teruskan,” tambahnya.

Tahun lalu, kerajaan dan PH memeterai MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, pada April, memutuskan MoU dimeterai antara kerajaan dan PH tidak diteruskan, selepas 31 Jul.

MoU berkenaan merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Sementara itu, Ismail berkata, pembubaran Parlimen tidak bergantung kepada mana-mana pembentangan Rang Undang-Undang (RUU), di Dewan Rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata, pembubaran akan dilakukan apabila sampai waktu yang sesuai.

Bagaimanapun, Ismail tidak menyatakan masa yang “sesuai” secara spesifik.

“Pembubaran Parlimen tidak bergantung kepada mana-mana (RUU). Asalkan sampai waktunya, sesuai untuk dibubarkan, maka bubar lah. Sama ada tahun ini atau tahun depan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.