Takziah kepada semua mangsa banjir yang kehilangan harta benda, malah ada yang hanya tinggal tapak rumah dalam bencana terburuk yang berlaku hujung minggu lalu.
Lebih menyedihkan seorang warga emas yang dikenali Mak Long tinggal di Hulu Langat, Selangor kediamannya hanya tinggal tangga. Semua habis dibawa arus deras tidak bersisa kecuali tangga.
Gambar rumah Mak Long hanya tinggal tangga menjadi tular di media sosial pada Isnin lalu selepas bencana menunjukkan arus deras akibat hujan lebat sangat besar impaknya penduduk di kawasan tersebut.
Seorang wartawan Kosmo! ditugaskan ke Hulu Langat untuk membuat tinjauan banjir melaporkan daerah itu seolah-olah baru lepas dilanda tsunami, sangat menyedihkan dan tragis.
Keadaan itu sangat teruk apabila selutnya sangat tebal dengan kenderaan tersadai selepas dibawa arus deras.
Tidak ketinggalan wartawan Kosmo! turut merakamkan video Mak Long di tapak rumahnya yang hanya tinggal tangga itu dengan niat murni untuk menunjukkan betapa teruknya bencana di situ.
Video yang dimuat naik dalam media sosial Kosmo! Online teruk dikecam netizen tanpa usul periksa mempersoalkan wartawan sebagai tidak ada hati perut kerana mengarahkan Mak Long naik tangga rumahnya.
Suara di dalam video 20 saat tersebut seolah-olah mengarahkan Mak Long membetulkan pakaiannya dan menyuruh warga emas itu naik atas tangga rumah.
Tanpa usul periksa wartawan Kosmo! telah dikecam hebat dan dihamburkan kata-kata kesat oleh pengguna media sosial.
Turut masuk campur mencari dosa kering adalah artis-artis yang mengulang siar video itu seperti mencurah minyak ke dalam api.
Sebenarnya apa yang berlaku adalah suara yang kedengaran dalam video itu adalah anak-beranak Mak Long sendiri dan suara seorang wartawan media lain.
Kosmo! hanya tersepit dalam situasi itu. Alhamdulillah banyak pahala Kosmo! dapat pikul dalam isu ini termasuk wartawan yang dimaki oleh netizen sendiri.
Tahniah netizen kerana telah membuat dosa kering, termasuk seorang ustaz di media sosial, nanti di akhirat anda merangkak di padang mahsyar mencari si wartawan yang anda maki tanpa usul periksa itu.
Anak-beranak Mak Long juga telah memohon maaf kepada wartawan Kosmo! yang menjadi mangsa keadaan itu atas apa yang berlaku.
Terima kasih kepada si suami curang sikat rambut belah tepi kerana anda telah mengambil alih isu hangat minggu naik tangga dengan mengambil alih caci maki netizen di media sosial pula.
Eloklah kiranya anda (netizen) membuat kutipan derma untuk Mak Long membina balik rumahnya di Hulu Langat, sekurang-kurangnya dapat juga pahala daripada membuat dosa kering tanpa usul periksa.
Baca juga:
Jentera UMNO komited bantu rakyat terkesan banjir – Ahmad Maslan
BN selesai agih bantuan banjir sekitar KL, Selangor
Rakyat marah menantu PM diselamatkan helikopter dari banjir
Bencana Banjir