Peningkatan kes penyakit pernafasan dan pengesanan radang-radang paru-paru misteri dikenali `white lung syndrome’ atau sindrom tompokan putih paru-paru khususnya di utara China, tidak perlu dibimbangkan secara keterlaluan kerana ia tidak menunjukkan potensi wabak baharu.
Pakar Epidemiologi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata sindrom berkenaan yang dikesan hasil imbasan X-ray pada paru-paru itu juga, terlalu umum dan tidak merujuk secara khusus kepada mana-mana penyakit.
Katanya, setakat ini kebanyakan penulisan atau jurnal perubatan tidak melaporkan potensi wabak baharu sekali gus hanya menunjukkan gejala penyakit sedia ada.
“Justeru, kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) pada masa ini memadai untuk berdepan pelbagai kemungkinan.
“Penularan penyakit juga belum terjadi, jadi kita tidak perlu risau keterlaluan. Dari segi epidemiologi, ia tidak menunjukkan tanda-tanda seperti perebakan jangkitan COVID-19 pada hujung 2019,” katanya.
Beberapa hari lalu, pakar kesihatan di Paris menasihatkan orang ramai supaya tidak mencetuskan ‘panik pandemik’ susulan peningkatan kes penyakit pernafasan di utara China khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
Perkembangan itu secara langsung mencetuskan spekulasi dalam talian mengenai ancaman pandemik baharu, empat tahun selepas COVID-19 pertama kali muncul di Wuhan, China.
Pihak berkuasa China mengatakan peningkatan kes radang paru-paru misteri disebabkan berakhirnya sekatan COVID-19, ketibaan musim sejuk dan peredaran patogen yang diketahui termasuk influenza, `mycoplasma pneumonia’, `respiratory syncytial virus’ (RSV) dan SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19.
Mengulas lanjut, Dr Malina berkata penyebaran penyakit pneumonia misteri itu juga disebabkan banyak faktor.
Katanya, jangkitan penyakit pernafasan itu boleh dielakkan dengan menjalani gaya hidup sihat, menjaga kebersihan diri dan persekitaran.
Sementara itu, Penasihat di Jabatan Peningkatan Kualiti dan Keselamatan Pesakit Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA), Datuk Dr Khalid Ibrahim berkata sindrom tompokan putih paru-paru itu adalah sejenis jujukan baharu bakteria mycoplasma pneumoniae yang biasa menyebabkan keradangan paru-paru.
“la dipanggil sedemikian disebabkan kewujudan tompok putih di dalam imbasan X-ray pada dada kanak-kanak dijangkiti bakteria terbabit.
“Terma sindrom ‘white lung’ ini merangkumi penyakit salur pernafasan seperti `Acute Respiratory Distress Syndrome’ (ARDS) yang disebabkan bakteria dalam darah, radang paru-paru dan juga trauma, selain terdapat garam calcium di dalamparu-paru boleh menyebabkan batuk, sukar bernafasa dan sakit dada berpunca daripada `pulmonary alveolar microlithiasis’ (PAM).
“Selain itu, ia disebabkan `silicosis’ menerusi kehadiran debu silika yang terdapat di dalam batu, pasir dan juga bahan lain,” katanya.
Mengulas mengenai pelaksanaan Pelan Liberalisasi Visa (PLV) yang bermula Jumaat lalu, Dr Khalid yang juga bekas Pengarah Kesihatan Selangor berkata, tahap keselamatan di pintu masuk perlu diketatkan seperti alat pengimbas haba, menggalakkan pemakaian pelitup muka dan diwajibkan suntikan influenza dari negara asal.
“Bagi kanak-kanak tempatan pula, mereka digalakkan mengambil suntikan vaksin bagi yang berumur enam bulan ke atas ke atas manakala murid sekolah digalakkan menggunakan pelitup muka dan sering menggunakan cecair pembasmi kuman.
“Begitu juga dengan individu dewasa, mereka disarankan memakai pelitup muka kerana musim jangkitan influenza tinggi di antara November hingga Mac selain Julai hingga September,” katanya.