HomeEDITORIALJaga-jaga gelombang kedua bah

Jaga-jaga gelombang kedua bah - huluselangor.com

BERMULA pada Sabtu lalu negara dilanda musibah banjir. Bencana ini boleh disifatkan tragedi terburuk yang pernah melanda Lembah Klang.

Menjelang Disember, biasanya penduduk di Pantai Timur dan beberapa negeri yang kerap dilanda banjir sudah bersedia. Perahu-perahu sudah diikat di tepi rumah. Apabila berlaku banjir mereka sudah faham apa yang perlu dilakukan.

Siapa menyangka rumah yang sudah didiami sejak 36 tahun lalu di Shah Alam tiba-tiba dinaiki air. Memang tidak terjangkau akal. Tiada persiapan dibuat untuk menghadapi musibah tersebut.

Situasi di Lembah Klang berbeza. Dahulu, laluan seperti di Batu 3, Shah Alam hanya dinaiki banjir kilat. Itu pun pengguna jalan raya masih boleh meredah air yang naik ke atas jalan. Kejadian pada Sabtu lalu menyebabkan ada pengguna terperangkap dalam kereta semalaman.

Penghuni yang tinggal di rumah dua tingkat terpaksa reda. Melihat pemandangan kawasan perumahan digenangi air. Bah sudah menenggelamkan kenderaan yang diparkir depan rumah.

Perabot di tingkat satu sudah kembang ‘terlarut’ dalam air. Peti ais terapung dan tumbang. Itu jika tinggal di rumah dua tingkat. Jika rumah setingkat, penghuninya terpaksa berpindah ke rumah ahli keluarga lain.

Lagi malang, rumah ahli keluarga yang menjadi tempat berteduh turut dinaiki air.

Setakat waktu menulis artikel ini, ‘separuh’ tanah Semenanjung betul-betul menjadi negeri bawah air. Lebih 66,000 mangsa daripada kira-kira 18,000 keluarga dipindahkan ke 439 buat pusat pemindahan sementara.

Mangsa-mangsa itu dicatatkan di Kelantan, Pahang, Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur. Pahang dan Selangor mencatatkan mangsa tertinggi masing-masing 38,000 dan 23,000 orang.

Negara mempunyai pengalaman melalui musibah ini sekali. Diharapkan jika berlaku gelombang kedua selepas ini kerajaan dapat menggerakkan aset-aset lebih pantas ke lokaliti-lokaliti yang terjejas teruk.

Dalam musibah sebegini, kemusnahan harta benda sudah pasti. Lambat bertindak nyawa rakyat jadi taruhan.

Perkara positif yang boleh dikutip sepanjang musibah ini adalah sikap prihatin rakyat kita. Sebagai contoh seorang individu dikenali Azwan Omar yang mengikat bot di atas sebuah kereta jenis Perodua Viva. Beliau antara individu yang terawal sampai ke lokasi bencana.

“Saya datang jauh, kerah tenaga sebab ini semua saudara kita jugakan,” ujarnya menerusi satu kiriman audio.

Original Article

HomeEDITORIALJaga-jaga gelombang kedua bah

Berkaitan

POPULAR