Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak orang ramai untuk menolak fitnah dan janji-janji kosong demi kedaulatan negara dan masa hadapan rakyat keseluruhan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Putrajaya berkata demikian selepas namanya disebut dalam sebuah video pendek mempersoalkan berkaitan ahli politik yang terbabit dengan jenayah berat atau penggubahan wang haram dan mencuri duit rakyat.
“Ingatlah bahawa kerana fitnah sebuah kerajaan boleh runtuh sebagaimana Barisan Nasional (BN) dimomokkan dengan pelbagai kecaman yang akhirnya hari ini BN terbukti adalah kerajaan terbaik berbanding parti-parti lain,” katanya dalam hantaran menerusi facebooknya, hari ini.
Berikutan itu, beliau memaklumkan telah membuat laporan polis yang dilaksanakan oleh pegawai khasnya berikutan penyebaran video berkaitan.
Katanya, beliau menjadi bahan ejekan atau perbandingan mereka yang tak bertanggungjawab sebagaimana dakwaan video klip berkaitan yang mengaitkan ahli politik terbabit dengan jenayah berat atau penggubahan wang haram dan mencuri duit rakyat.
“Nama saya dikaitkan dan ini adalah satu fitnah yang sangat berat malah saya dianggap orang luar hanya kerana saya berketurunan Acheh. Saya menolak fitnah tersebut. Pegawai Khas saya telah membuat laporan polis berkaitan tularnya video itu.
“Tidakkah mereka melihat bagaimana saya diheret ke mahkamah dan berjuang menuntut pengadilan turun naik tangga saban hari sepanjang dua tahun hanya kerana saya mahu menegakkan kebenaran. Imej saya saya bukan hanya hancur malah maruah ahli keluarga saya juga turut tercalar parah.
“Sungguh, bukan mudah saya melalui tekanan politik selepas BN tak jadi kerajaan. Saya dihimpit, ditekan dan cubaan rosakkan emosi saya dari dalam. Dua tahun adalah satu tempoh yang panjang untuk saya menuntut pengadilan namun syukur keluarga dan rakan-rakan teguh menyokong saya. Bukan mudah tapi alhamdulillah, kuasa Allah SWT penentu segalanya.”
Sebenarnya, kata beliau betapa ceteknya pemikiran mereka yang mudah menghakimi tanpa membuat penilaian asal punca apa-apa yang berlaku kerana semuanya adalah usaha terancang pihak tertentu yang mahukan negara ini tunduk kepada agenda liberal atas alasan hak sama rata, kebebasan bersuara dan keadilan dalam hak asasi manusia.
“Ini bukan perkara baharu kerana usaha meruntuhkan Malaysia sebagai sebuah negara Berperlembagaan dengan sistem Beraja telah lama berlaku. Malah ada juga persatuan-persatuan atau badan bukan kerajaan (NGO) tertentu yang ditaja oleh pihak luar bagi melaksanakan agenda ini.
“Ini adalah kerana Malaysia adalah satu-satunya negara yang meletakkan agama Islam dalam Perlembagaan dengan hak keistimewaan bangsa Melayu terus ada. Tapi taklah bermakna kaum-kaum lain ditolak sebaliknya kalau dilihat bangsa-bangsa lain boleh hidup makmur dan menjalankan apa-apa perusahan dengan aman.
“Kalau nak jawab berkaitan soalan adakah ahli politik yang telah didakwa… kenapa hanya melihat yang terkini dan tak meninjau sejarah selepas kemerdekaan? Berapa ramai ahli politik yang perlu meletak jawatan dan berdepan hukuman di dalam penjara ekoran daripada salah silap mereka sendiri. Ini kerana negara kita ada undang-undang, tak kiralah apa jawatan sekalipun yang salah tetap salah dan yang benar akan dibebaskan.”
Tegasnya, kerana itulah, semasa pentadbiran BN, kerajaan sentiasa berusaha menerapkan nilai kebersamaan dengan kesederhanaan tanpa meniru corak atau acuan dari luar.
“Malaysia adalah negara yang majmuk, masyarakat pelbagai kaum dengan agama dan budaya berbeza-beza. Kita hidup rukun dan saling hormat menghormati. Tak ada rasa prejudis atau sangsi antara satu sama lain sebaliknya sentiasa rasa selamat dan saling melindungi.
“Jika mahu bersuara, kita ada saluran dan tahu santun bahasa dengan hujah dan fakta yang nyata. Kita perlu terus bersama tegakkan kedaulatan negara kita sebagaimana kita berusaha kekalkan budaya ketimuran dengan tolak LGBT termasuklah pelaksanaan ICERD suatu waktu lalu.
“Kerana itu, janganlah tunduk kepada apa-apa cubaan atau fitnah sebaliknya nilai dahulu apa yang diperkatakan. Media sosial yang ada di hujung jari memang ada macam-macam cerita tapi jangan terima bulat-bulat semuanya. Kita perlu berfikir dan mesti matang membuat penilaian kerana kita manusia bertamadun yang tahu baik dan buruk,” katanya lagi.