Beberapa kawasan di sekitar Kajang, Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat bermula petang tadi, sebelum keadaan dilaporkan hampir pulih sepenuhnya tidak lama kemudian.
Antara kawasan yang dilaporkan terjejas adalah Apartmen Glen Court, Bandar Sungai Long dan di Jalan Semenyih serta Rumah Murah Taman Lembah Mewah, Kajang.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima laporan banjir kilat di Apartmen Glen Court pada jam 5.19 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, kejadian dipercayai berpunca daripada limpahan air dari sebuah kolam berhampiran apartmen terbabit pada kedalaman kira-kira 0.3 meter.
“Bagaimanapun, apabila anggota kita tiba di lokasi pada jam 5.57 petang, banjir kilat di kawasan terbabit sudah surut sepenuhnya dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya hari ini.
Norazam berkata, setakat ini, tiada penduduk yang diarahkan berpindah dari kediaman masing-masing.
Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP sama turut digerakkan ke satu lagi kawasan yang dilaporkan dilanda banjir kilat iaitu di Taman Lembah Mewah selepas menerima laporan kejadian pada jam 5.35 petang tadi.
“Banjir kilat berlaku di kawasan berkenaan akibat hujan lebat dan keadaan longkang yang tersumbat, menyebabkan air melimpah dengan kedalaman kira-kira 0.6 meter.
“Keadaan pada masa ini terkawal, malah paras air semakin surut, dan kejadian ini juga tidak membabitkan sebarang pemindahan mangsa,” katanya.
Selain itu, beberapa kawasan lain turut ditimpa masalah sama iaitu di Jalan Bukit Mewah dan Taman Zamrud, Kajang, petang tadi namun kejadian beransur pulih dan air surut sepenuhnya menjelang lewat petang.