HomeEDITORIAL📷 Banjir 2021: Diingat sebagai tragedi tsunami tanpa gempa bumi

📷 Banjir 2021: Diingat sebagai tragedi tsunami tanpa gempa bumi - huluselangor.com

KELMARIN (24 Disember) genap 17 tahun tragedi Tsunami Lautan Hindi yang dianggap antara terburuk dalam sejarah. Ia bermula dengan gempa bumi di dasar laut Sumatra-Andaman pada 26 Disember 2004, pada jam 7:59 pagi waktu tempatan.

Gempa bumi berukuran 9.1 menyebabkan badai menghempas Pulau Sumatera dan selama tujuh jam tsunami bergerak di Lautan Hindi, menghancurkan semua penempatan dalam alirannya sehingga ombak itu dirasai di Timur Afrika.

Ombak tsunami yang mencapai ketinggian sehingga 30 meter ketika merempuh pesisiran pantai. Ia membunuh sekurang-kurangnya 225,000 orang di 12 negara.

Indonesia paling buruk terjejas dengan lebih 200,000 orang terbunuh. Ramai lagi dilaporkan hilang. Thailand juga terjejas teruk Tragedi itu yang juga dikenali sebagai Boxing Day Tsunami juga meragut 67 nyawa rakyat Malaysia, sebahagian besar di Pulau Pinang yang agak dekat dengan Sumatera dan pusat gempa. Kerugian ekonomi tragedi tsunami 2004 itu dianggarkan AS$9.4 bilion (RM39.5 bilion), satu jumlah yang sangat besar.

Baca juga:

Kejadian banjir yang melanda Lembah Klang baru-baru ini dan kemusnahan yang dibawa mengingatkan penulis mengenai bencana tsunami itu. Keadaan rumah yang musnah, kereta bertaburan di tepi jalan, selut dan lumpur memenuhi semua tempat, dan kawasan yang digenangi air.

Video dan gambar mengenai kehancuran yang dibawa banjir “luar biasa” disebabkan hujan “luar biasa” menyebabkan kemusnahan yang “luar biasa”. Kebanyakan media juga menggunakan istilah “tsunami” bagi menggambarkan kemusnahan yang berlaku.

Paling menyayat hati mereka yang bermalam di atas bumbung sementara menunggu bantuan tiba. Sukar membayangkan orang dewasa, tua dan kanak-kanak berteduh di atas bumbung, berbumbungkan langit ketika hujan masih turun dan mengharapkan bantuan.

Beberapa jam terkurung, tanpa makanan sehingga hendak ke tandas tiada kuasa. Mereka menanti dengan hanya menaruh harapan bahawa ada orang akan tahu di mana mereka berada dan membantu.

Begitu juga mereka yang pulang ke rumah hanya untuk mendapati semuanya yang diusahakan sepanjang hayat musnah apabila. Semua terendam dalam air bah dan selut. Kepiluan gambar seorang wanita membasuh telekung bercampur lumpur dalam takungan air lumpur.

Ia memang tragedi seperti Tsunami Lautan Hindi. Apa yang berbeza bah besar Lembah Klang airnya datang dari bahagian hulu dan bukan dari laut seperti Tsunami. Tetapi jika dilihat akan kemusnahannya, ia seburuk kejadian tsunami 2004.

Mungkin selepas semua mayat ditemui dan dikira di seluruh negara, angka yang mati akibat bencana ini mungkin melebihi apa yang berlaku 17 tahun lalu dalam tragedi tsunami 2004.

Ada pihak meminta supaya jangan menuding jari dan memperbesarkan-besarkan tragedi ini. Tetapi berbeza Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menerima baik kritikan masyarakat termasuk menegaskan semua pihak bertanggungjawab. Tragedi seperti ini tidak mungkin dapat ditutup.

Memberikan pandangan serta kritikan akan membantu negara supaya lebih bersedia untuk tragedi “tsunami” seterusnya. Terdapat kelemahan jelas pengurusan banjir terutama di Lembah Klang.

Mujur kesanggupan rakyat untuk membantu, berkorban membawa bot serta kelengkapan dari negeri lain mengurangkan bebanan.

Mungkin dalam tragedi akan datang, kita dapat melihat semua aset canggih yang dipertontonkan ketika perarakan hari kemerdekaan dapat digunakan bagi membantu mangsa. 18 Disember akan dikenang jutaan warga di Lembah Klang sebagai tragedi tsunami yang berlaku tanpa gempa bumi.

Original Article

HomeEDITORIAL📷 Banjir 2021: Diingat sebagai tragedi tsunami tanpa gempa bumi

Berkaitan

POPULAR