HomePILIHAN RAYADAP – Ikhlas dan setialah dalam berkawan

DAP – Ikhlas dan setialah dalam berkawan - huluselangor.com

Saya membaca berita yang melaporkan gesaan seorang Adun daripada DAP agar Dato’ Seri Anwar Ibrahim berundur daripada Ketua Pembangkang.

Beliau menjadikan kegagalan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Melaka sebagai alasan untuk menyokong gesaan beliau ini.

Saya berharap kenyataan Adun Bilut ini tidak mewajahkan pandangan keseluruhan DAP walaupun kenyataan Sdra Liew Chin Tong semalam juga berbaur hasrat yang sama, apabila beliau mengulangi idea bahawa Pakatan Harapan memerlukan suatu ‘Reset’.

Malah Adun Bilut ini juga secara terang menyatakan yang DAP perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada Pakatan Harapan sekiranya tidak ada perubahan atau ‘reset’ yang dilakukan pasca PRN Melaka.

Apa yang menjengkelkan ialah kenyataan Adun Bilut ini cuba mengasingkan atau ‘single out’ Anwar Ibrahim sebagai sosok tunggal yang menjadi punca kekalahan Pakatan Harapan di melaka baru-baru ini.

Sedangkan semua keputusan yang dibuat sebelum PRN Melaka telah diputuskan dalam mesyuarat rasmi Pakatan Harapan.

Sebagai contohnya, ketetapan berkenaan logo telah disepakati dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Begitu juga dengan keputusan untuk menerima dua orang pemimpin UMNO yang melompat untuk diangkat sebagai calon.

Namun mengapa secara tiba-tiba hanya Anwar Ibrahim menjadi calon tunggal untuk menanggung segala beban kekalahan?

Semestinya sebagai Ketua Pembangkang, saya tidak mengatakan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang sentiasa betul atau 100% sempurna.

Namun Adun Bilut ini harus belajar untuk menerima konsekuensi suatu keputusan yang dicapai secara bersama.

Apa yang lebih merisaukan ialah, sikap Adun Bilut ini hanya mengesahkan tanggapan ramai orang melayu terhadap DAP, iaitu DAP hanya suka kawan untuk kepentingan tertentu.

Di saat Anwar Ibrahim menjadi ikon kebangkitan orang melayu, DAP mengusung, memuja dan memuji nama Anwar Ibrahim.

Namun apabila Pakatan Harapan diuji dengan kekalahan teruk di Melaka, maka secara tiba-tiba Anwar Ibrahim menjadi manusia yang tidak bernilai.

Saya ingin mencabar Adun Bilut ini untuk menamakan seorang tokoh yang beliau rasanya layak untuk menggantikan Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Namun jika beliau gagal, mungkin ada benarnya saranan Adun Bilut ini untuk DAP memilih kapal baru selain Pakatan Harapan.

SYUKRI RAZAB
Penulis merupakan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan Malaysia

HomePILIHAN RAYADAP – Ikhlas dan setialah dalam berkawan

Berkaitan

POPULAR