Barisan Nasional (BN) memberi komitmen untuk memperkenalkan enakmen anti lompat parti serta meminda peruntukan undang-undang berkaitannya untuk menangani isu lompat parti dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka.
Komitmen itu dizahirkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas BN berjaya membentuk kerajaan Melaka, dengan memenangi 21 kerusi DUN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Komitmen lain kata beliau, gabungan itu akan mengusulkan kerjasama antara ADUN untuk memastikan jangka hayat DUN Melaka kekal untuk tempoh empat tahun dari hari pertama bersidang.
“BN juga akan memperkenalkan agenda transformasi dan pengukuhan dalam sidang DUN untuk membolehkan ADUN memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan dasar,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Ayer Keroh, malam ini.
Dalam pada itu, Zahid turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Timbalan Presiden Umno yang juga pengarah pilihan raya negeri Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas Perdana Menteri yang juga penasihat BN, Datuk Seri Najib Razak; MCA dan MIC, atas kemenangan bergaya gabungan itu pada PRN Melaka.
Katanya kemenangan besar BN di Melaka bermakna pengundi telah kembali kepada gabungan itu, selepas kekalahan mengejutkan pada PRU14.
“Rakyat Melaka beri mandat semula kepada BN untuk bentuk kerajaan,” katanya.