HomePOLITIKAdakah kerajaan gagal laksana titah Agong pasal darurat, soal Zahid

Adakah kerajaan gagal laksana titah Agong pasal darurat, soal Zahid - huluselangor.com

Umno terus mempersoalkan kemampuan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani wabak Covid-19, dan mencadangkan Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen segera, tanpa menunggu nasihat daripada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, darurat diisytiharkan 12 Jan lalu untuk membendung penularan wabak itu, tetapi, selepas hampir empat bulan, kadar jangkitan masih tinggi.

“Bukankah baginda bertitah supaya proklamasi darurat digunakan sebagai langkah proaktif menbendung wabak Covid-19?

“Adakah ini bermaksud kerajaan PN telah gagal dalam melaksanakan titah Yang di-Pertuan Agong tersebut?” kata beliau dalam catatan di Facebook, susulan kes Covid-19 semakin menokok dan lebih banyak sekolah terpaksa ditutup akibat wabak itu.

Zahid berkata, kerajaan PN tidak boleh lagi menggunakan darurat sebagai alasan untuk menghalang Parlimen bersidang kerana Agong sebelum ini menyatakan Parlimen boleh bersidang semula walaupun semasa darurat.

“Jika kerajaan sudah ketandusan daya dan idea, maka usaha membendung Covid-19 wajar diserah semula kepada Parlimen.

“Di situ (Parlimen), input daripada semua pihak akan diperhalusi, suara serta pandangan rakyat akan didengari,” kata Zahid.

Beliau kesal kerana Muhyiddin masih belum menasihati pihak Istana mengenai tarikh untuk untuk Dewan Rakyat bersidang semula.

“Mungkinkah Agong boleh terus saja memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat daripada perdana menteri? Jika boleh begitu, adalah lebih baik kerana rakyat dan negara tidak boleh dibiarkan dalam keadaan tidak menentu.”

Hari ini, Kementerian Kesihatan melaporkan 2,875 kes baharu Covid-19, dan, tujuh kematian.

Selasa lalu, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengarahkan penutupan 19 sekolah di Selangor selepas kemunculan kluster Covid-19.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon dilaporkan berkata, sekolah yang disahkan mempunyai satu kes Covid-19 perlu ditutup sekurang-kurangnya dua hari.

HomePOLITIKAdakah kerajaan gagal laksana titah Agong pasal darurat, soal Zahid

Berkaitan

POPULAR