Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris kesal dengan sikap sesetengah pihak yang sengaja mempolitikkan isu banjir ini.
Katanya, banyak pihak yang mengeluarkan kenyataan provokasi dan menyalahkan pihak kerajaan dan Perdana Menteri kerana lambat bertindak dalam pengurusan bencana ini sedangkan ianya hanya untuk mengundang kemarahan rakyat.
“YAB PM telah melawat hampir setiap pusat pemindahan sementara (PPS) untuk memastikan segala kebajikan mangsa terjaga,” katanya dalam mengulas berkaitan isu terbabit menerusi laman facebooknya.
Tegasnya, sejak dari awal iaitu bermula hari Jumaat lepas lagi, PM telah mengarah semua agensi kerajaan memindahkan serta menyelamatkan mangsa banjir.
“Perlu kita faham, bencana banjir ini berlaku secara serentak dan melibatkan kawasan yang luas serta jumlah mangsa yang amat ramai.
“Di kawasan Taman Sri Muda, penduduknya hampir 30,000 yang terkandas. Itu belum lagi taman-taman lain di kawasan Shah Alam dan sekitarnya.
“Mana mungkin agensi kerajaan mampu menyelamatkan semua mangsa dalam tempoh yanh singkat. Fikirlah secara rasional.”
Jelasnya, bomba, PDRM, APM, ATM dan sebagainya akan membantu golongan yang amat memerlukan dahulu seperti wanita, warga emas dan kanak-kanak.
“Begitu juga kawasan rumah teres satu tingkat yang akan menjadi tumpuan mereka dahulu kerana mangsa tidak mempunyai tempat berlindung.
“Tidak perlulah hendak memaki hamun “frontliners” kita ini hanya kerana lambat tiba ke kawasan anda. Mereka menggadai nyawa untuk anda. Mereka juga ada keluarga.”
Ujarnya, pemikiran seperti inilah yang merosakkan generasi anak muda di Malaysia.
“Semoga urusan semua mangsa banjir dipermudahkan dan terima kasih kepada pihak YAB PM kerana sentiasa prihatin terhadap isu ini,” katanya lagi.