[VIDEO] UMNO ada Pelan B jika ROS tolak pindaan perlembagaan

0
412
  • UMNO akan mengadakan pemilihan sebelum akhir tahun ini sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pindaan perlembagaan.
  • Ahmad Maslan, berkata parti itu juga turut mempunyai perancangan lain atau Pelan B jika tidak meneruskan pemilihan parti.
  • Tak ada sebab ia tidak dilulus kerana ia sama dengan apa yang dilakukan MCA dan sudah diluluskan.

PONTIAN: UMNO akan mengadakan pemilihan sebelum akhir tahun ini sekiranya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) tidak meluluskan permohonan pindaan perlembagaan parti berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata parti itu juga turut mempunyai perancangan lain atau Pelan B jika ia mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pemilihan parti sebelum akhir tahun ini.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian tidak mahu mendedahkan butiran Pelan B yang dirancang UMNO sekiranya pemilihan parti tidak diadakan sebelum akhir tahun ini.

“Kami (ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) akan buat keputusan jika (pindaan perlembagaan tak diluluskan ROS. UMNO ada Pelan B, namun jika tak mahu Pelan B, maka kita akan buat pemilihan parti sebelum 29 Disember ini.

“Bagaimanapun, kita ingin laksanakan Pelan B jika ROS tak lulus permohonan pindaan perlembagaan berbanding membuat pemilihan. Apakah Pelan B itu, kena tunggulah nanti.

“UMNO sebenarnya tak mahu buat Pelan B itu. Kita harap ROS luluskan permohonan kita kerana tak ada sebab ia tidak dilulus kerana ia sama dengan apa yang dilakukan MCA dan sudah diluluskan,” katanya ditemui pada majlis penyerahan daging korban di Benut, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.

UMNO sebelum ini dilaporkan menangguhkan pemilihan parti di semua peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi selama 18 bulan selepas penggal 2018/2021 berakhir pada 30 Jun tahun lalu. Tempoh 18 bulan itu akan tamat hujung tahun ini dan pemilihan UMNO perlu diadakan sebelum 30 Disember tahun ini.

Berdasarkan dokumen pindaan yang dibentangkan pada sidang khas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 15 Mei lalu, ia memperuntukkan dua cadangan fasal baharu iaitu Fasal 10.16.1 yang menyebut Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhak menangguhkan pemilihan di peringkat MT, bahagian dan cawangan.

Dalam pada itu, Ahmad turut menafikan kenyataan tular di media sosial yang mendakwa pemimpin UMNO ketika ini bertaraf ‘caretaker’ sebagai antara faktor utama menyebabkan ROS tidak meluluskan permohonan pindaan perlembagaan parti itu.

“Saya ingin nafikan pandangan atau kenyataan yang tular menyatakan pimpinan UMNO ketika ini adalah ‘caretaker’. Kita (pimpinan UMNO ketika ini) bukan ‘caretaker’. ‘Caretaker’ itu hanya jika penangguhan pemilihan tidak diluluskan.

“Dalam perlembagaan UMNO memang ada klausa yang membolehkan pemilihan dilanjutkan selama 18 bulan. Jadi apabila bukan caretaker, kita berhak melakukan apa sahaja termasuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor dan mengadakan PAU serta sidang khas PAU,” katanya.

Ahmad menjelaskan, jika pemimpin UMNO termasuk 56 ahli MKT parti itu adalah ‘caretaker’, maka ia tidak boleh membuat keputusan dasar.

“Oleh kerana kami bukan ‘caretaker’ maka boleh buat keputusan dasar termasuk meluluskan pindaan perlembagaan UMNO pada sidang khas PAU Mei lalu.

“Malah kenyataan bahawa pemimpin UMNO kini bukan ‘caretaker’ diakui sendiri oleh ROS apabila saya bertanya pada mereka. Jadi ini bukan perkara teka-tekaan tapi hakikat bahawa penjawat jawatan UMNO ini bukan ‘caretaker’.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.