Omicron, varian tidak ‘berduri’ peningkan saintis

0
150

Baru-baru ini, dunia dikejutkan dengan kemunculan varian baharu koronavirus dinamakan Omicron.

Kemunculan Omicron asal dari rantau selatan Afrika ini diklasifikasikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai varian yang dibimbangi.

Kenapa varian Omicron membimbangkan adalah kerana cirinya berbeza daripada varian-varian Covid-19 sebelum ini tidak terkecuali varian Delta.

Semua vaksin koronavirus yang dihasilkan setakat ini menumpukan kepada ciri eksklusif virus Covid-19 iaitu ‘durinya’.

Boleh dikatakan semua virus Covid-19 mempunyai ciri duri yang digunakan oleh vaksin untuk ‘mengajar’ antibodi manusia supaya dapat mengecam sekali gus memusnahkan virus tersebut.

Omicron bagaimanapun mempunyai ciri berbeza dengan virus dan varian Covid-19 lain sehinggakan antibodi manusia tidak lagi dapat mengecamnya.

Dalam erti kata lain, segala penat jerih kerajaan dan petugas barisan hadapan melaksanakan kempen vaksinasi adalah tidak berguna untuk varian ini.

Sekiranya kajian lanjut mengesahkan kebimbangan pakar-pakar dan WHO mengenai ciri unik Omicron tersebut benar, maka risiko terhadap penduduk lengkap divaksin atau mereka yang tidak divaksin adalah sama, ibarat ‘wal hasil balik asal’.

Ini bermakna mereka yang lengkap divaksin atau menerima lima dos penggalak boleh dijangkiti Omicron sehinggalah saintis-saintis menghasilkan vaksin khusus untuk varian itu.

Perkembangan ini sememangnya merisaukan kerana kita balik kepada era pandemik sebelum vaksinasi di mana norma baharu adalah satu-satunya cara yang dapat mencegah jangkitan Omicron.

Ia amat memenatkan untuk kerajaan-kerajaan dunia kerana terpaksa sekali lagi melaksanakan sekatan ketat dan ‘lockdown’ yang kita pernah mengharungi jerihnya sebelum ini, namun penulis yakin situasi ini hampir pasti tidak akan berlaku.

Namun, ada pandangan berbeza terutamanya daripada pakar-pakar di Afrika Selatan yang berpendapat bahawa Omicron adalah bukti Covid-19 akan menjadi seperti virus selesema yang mudah berjangkit tetapi tidak akan membahayakan manusia seperti semasa pandemik bermula.

Hal ini kerana Omicron didakwa mencetuskan simptom ringan berbanding virus Covid-19 lain. Beratus-ratus orang yang dijangkiti varian ini di Afrika Selatan mengadu mengalami sakit kepala, pening, mual dan nadi mereka menjadi lebih cepat daripada biasa. Bagaimanapun, pesakit-pesakit tersebut dilaporkan tidak mengalami gejala serius lain seperti sesak nafas dan hilang deria bau seperti sebelum ini.

Ini adalah dua pandangan berbeza dan kita harap pandangan pakar-pakar Afrika Selatan itu benar kerana untuk menunggu vaksin khas bagi varian Omicron sesungguhnya amat ‘ meletihkan’.

Original Article

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.