WhatsApp mungkin perkenal fungsi auto-padam mesej… terus lenyap selepas baca

APLIKASI sembang popular, WhatsApp sedang menguji fungsi baharu yang membenarkan mesej dipadamkan secara automatik dalam tempoh masa ditetapkan.

Menurut blog WhatsApp BetaInfo, fungsi itu membolehkan mesej hilang dalam tempoh sama ada lima saat atau sejam selepas ia dihantar.

Untuk menghidupkan fungsi itu, pengguna perlu ke tetapan chat dan menekan fungsi berkenaan sebelum membuat menetapkan masa.

“Selepas menghidupkan fungsi ini, mana-mana mesej akan terpadam secara sendiri dan tidak boleh dikesan lagi,” ujar blog itu.

Setakat ini, ia hanya diuji untuk mesej kumpulan (group chat) dan mungkin diperkenal untuk mesej persendirian (personal chat).

Fungsi ini juga dikhabarkan hampir sama dengan apa yang sudah diperkenalkan oleh Telegram.

Bagaimanapun, fungsi dalam Telegram itu hanya terpakai untuk mereka yang menggunakan Secret Chat dan tidak boleh diaktifkan untuk chat biasa.

Ujar BetaInfo, fungsi itu masih dalam peringkat pembangunan dan tidak tersedia untuk pengguna.

Sehingga kini, tiada jangkaan bila ia akan dikeluarkan. – The Star.