HomeBERITAWanita Rugi Duit i-Sinar Diperdaya Sindiket Nombor Ramalan

Wanita Rugi Duit i-Sinar Diperdaya Sindiket Nombor Ramalan - huluselangor.com

IPOH – Seorang wanita mendakwa kerugian RM3,000 termasuk RM1,000 daripada pengeluaran i-Sinar KWSP akibat ditipu dalam pembelian tiket nombor ekor menerusi laman sosial Facebook sebanyak dua kali sejak Disember lepas.

Ibu kepada lima anak berumur 42 tahun dari Menglembu di sini, mendakwa telah berurusan dengan seorang lelaki selepas melihat satu iklan di Facebook dikenali sebagai Kelvin, kononnya ejen agensi nombor ramalan yang menawarkan perkhidmatan tip pada 10 pagi, 1 Disember lalu.

“Dia meminta saya bayar RM500 dan saya telah memasukkan wang yang diminta ke dalam satu akaun. Selepas itu, dia minta lagi RM1,500 dan RM4,450 untuk dapatkan tip tapi saya tolak,” katanya dalam sidang media di Wisma DAP Perak di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Menglembu, Steven Chaw.

Wanita itu mendakwa dia sekali lagi berhubung dengan seorang lelaki dikenali sebagai Sam menerusi Facebook kononnya ejen agensi nombor ramalan yang memintanya membayar sebanyak RM1,000 pada 20 Januari lepas dan RM1,500 dua hari kemudiannya.

“Tapi selepas itu, saya sedar telah ditipu kerana saya tidak menerima apa-apa nombor ramalan, saya telah membuat laporan polis di Balai Polis Menglembu semalam. 

“Saya telah menggunakan sebanyak RM1,000 daripada pengeluaran i-Sinar KWSP manakala RM2,000 lagi saya pinjam daripada seorang rakan,” katanya yang kehilangan kerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac tahun lalu.

Sementara itu, Steven berharap orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan nombor ramalan dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan bagi menangkap pihak tidak bertanggungjawab tersebut. – BERNAMA

HomeBERITAWanita Rugi Duit i-Sinar Diperdaya Sindiket Nombor Ramalan

Berkaitan

POPULAR