HomeBERITAWajibkan Rakyat Keluar Mengundi

Wajibkan Rakyat Keluar Mengundi - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang mewajibkan pemilih supaya keluar mengundi atau dikenakan tindakan.

Cadangan itu disuarakan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, peratusan keluar mengundi pada pilihan raya terdahulu menunjukkan ramai pemilih tidak melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara.

“Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), mereka yang keluar mengundi hanya 82.32 peratus. Daripada 14.9 juta pengundi, yang keluar cuma 12.2 juta. Lagi 2.7 juta ini tidur ke? Mereka tidak keluar mengundi walaupun lima tahun sekali.

“Lihat data Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong. Hanya 43 peratus keluar mengundi. PRK Seri Setia (44 peratus). PRK Sungai Kandis (49.4 peratus). Semua di bawah 50 peratus.

“Malah PRK Port Dickson, kawasan Ketua Pembangkang (Datuk Seri Anwar Ibrahim), hanya 58.2 peratus yang keluar mengundi,” katanya.

Ahmad mencadangkan supaya mereka yang tidak keluar mengundi dikenakan tindakan.

Antara yang dicadangkannya ialah mengenakan denda seperti RM100 ke RM200 atau tidak dibenarkan memperbaharui lesen memandu.

“Mengundi ini perlu diwajibkan. Ada 22 negara mewajibkan mengundi. Antaranya Argentina, Costa Rica, Mesir, Honduras, Mexico, malah negara jiran kita Thailand dan Singapura.

“Kita perlu pinda Perlembagaan dan wajibkan rakyat Malaysia mengundi. Lima tahun sekali sahaja. Itu pun tak pergi mengundi. Apa benda ini? Bukan sebulan sekali mengundi,” katanya. – BH Online

HomeBERITAWajibkan Rakyat Keluar Mengundi

Berkaitan

POPULAR