[Video] Sentimen anti keluarga Lim memuncak dalam DAP

0
961

Menjelang pemilihan parti DAP pada pertengahan tahun ini, gerakan untuk menyingkirkan setiausaha agung Lim Guan Eng, dan bapanya, Lim Kit Siang dikatakan semakin mendapat momentum.

Pelancaran sebuah buku yang dijadualkan pada 17 Januari disebut-sebut sebagai peluang bagi gerakan anti-Lim untuk merancakkan lagi momentum sebelum pemilihan parti, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 30 Jun.

Acara 17 Januari itu adalah untuk melancarkan koleksi puisi dwibahasa dan memoir yang ditulis oleh veteran DAP, Liew Ah Kim, yang pernah menjadi setiausaha publisiti nasional, timbalan setiausaha agung dan naib pengerusi parti itu.

Liew, dilahirkan pada tahun 1938, dan menyertai DAP pada tahun 1966 dan kemudiannya terpilih sebagai anggota dewan undangan negeri dan ahli parlimen selama tiga penggal.

Dia pernah menjadi rakan akrab Kit Siang. Namun, pada tahun 1998, dia bekerjasama dengan Wee Choo Keong dan Fung Ket Wing untuk menentang Kit Siang, setiausaha agung ketika itu.

Walaupun begitu, gerakan yang dikenali sebagai ‘Kick Out Kit Siang’ (KOKS) akhirnya gagal.

Akibatnya, Wee dipecat dari parti itu, sementara Liew dan Fung meletakkan jawatan dan membentuk Parti Demokratik Malaysia (MDP). Empat tahun kemudian, pada bulan Julai 2002, Liew kembali menyertai DAP.

Liew hari ini dilaporkan akan bertanding merebut salah satu jawatan dalam pemilihan CEC yang akan datang walaupun sudah berusia 82 tahun.

Memoirnya, ditulis dalam bahasa Cina, bertajuk ‘Tiga puluh tahun terumbang-ambing dalam politik’, menyentuh beberapa kejadian berhubung krisis parti 1998, dijadualkan dilancarkan di sebuah restoran Cina di Klang.

Adun Sungai Pelek Ronnie Liu, exco Selangor V Ganabatirau, dan bekas anggota DAP Hew Kuan Yau adalah antara tetamu yang dijemput, menurut sumber.

Liu dan Ganabatirau kedua-duanya adalah calon untuk menjadi ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC), sementara Hew masih mempunyai pengaruh tertentu dalam parti itu meskipun telah berhenti empat tahun yang lalu.

Pelancaran buku itu pada mulanya dijadualkan pada awal Disember tahun lalu, tetapi ditangguhkan kerana beberapa “faktor yang tidak dapat dielakkan”. Ketika dihubungi, Liew memberitahu Malaysiakini bahawa pelancaran akan tetap diadakan pada 17 Januari.

Malaysiakini difahamkan bahawa selepas dua dekad, masih ada gerakan lain bagi menentang Kit Siang secara senyap di dalam DAP. Namun, kali ini, sasaran bukan sahaja ke atas pemimpin veteran itu tetapi juga anaknya, Guan Eng.

Mengikut perlembagaan DAP, Guan Eng mesti mengundurkan diri dari jawatan setiausaha agung kerana telah mencapai had tiga penggal yang ditetapkan.

Namun, spekulasi semakin memuncak dalam parti bahawa Guan Eng berhasrat untuk bertanding jawatan pengerusi setelah menamatkan penggalnya sebagai setiausaha agung.

Pengerusi sekarang, Tan Kok Wai telah mengumumkan bahawa dia tidak berhasrat untuk memegang semula jawatan itu, walaupun dia akan bertanding dalam pemilihan anggota CEC.

Kenyataan itu mengundang lebih banyak polemik, terutama setelah Hew membuat beberapa sindiran di laman Facebooknya.

Hew, yang dikenali sebagai ‘Superman’ dan tokoh pelampau di kalangan akar umbi DAP, berpendapat bahawa Guan Eng berhasrat menjadi ‘tok dalang’ dan mengatur segala-galanya dari belakang tabir sebagai pengerusi parti.

‘Siapa pembuat keputusan sebenar dalam DAP? Sepatutnya setiausaha agung, bukan pengerusi parti.

“Sebab itu perlembagaan parti mengehadkan tempoh setiausaha agung kepada tiga penggal atau sembilan tahun, sementara tidak ada had penggal buat pengerusi,” tulis Hew di laman Facebooknya.