[Video] Selangor Digesa Wujud Dana Khas Tangani Wabak Denggi

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor digesa mewujudkan peruntukan khas untuk kesihatan khususnya dalam menangani wabak denggi dalam Belanjawan Selangor 2020 yang bakal dibentangkan pada bulan depan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, ia diperlukan susulan kes denggi sangat membimbangkan dan Selangor antara negeri penyumbang terbesar kepada wabak itu.

“Saya mengharapkan satu keajaiban akan berlaku dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada kali ini.

“Selangor merupakan penternak denggi yang paling tinggi. Kalau ikut statistik Januari lalu, kita ada (Malaysia) lebih kurang 38,000 kes, ini tidak termasuk kes mati.

“Daripada jumlah kes itu, lebih 22,000 kes denggi dicatatkan berlaku di Selangor.

“Tidak ada satu bentuk peruntukan yang benar-benar untuk melihat macam mana nak mencegah denggi ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Sebanyak 38,080 kes denggi direkodkan di seluruh negara dari Januari hingga April lalu dengan Selangor mencatatkan jumlah kes tertinggi.

Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan menunjukkan sebanyak 22,343 kes denggi dilaporkan di Selangor, diikuti Kuala Lumpur (3,084), Johor (3,051), Pulau Pinang (2,173), Sabah (1,717) dan Kelantan (1,164).

Mat Nadzari juga melahirkan rasa kesal apabila Belanjawan 2020 Kerajaan Persekutuan juga didakwa tidak menyediakan peruntukan khas untuk menangani wabak denggi ini.

“Kalau tengok senario yang berlaku di dalam Belanjawan Negara, satu perkara yang terlepas pandang di sini ialah dalam peruntukan kesihatan,” katanya.

Katanya lagi, sejak Pakatan Rakyat (PR) dan kini PH memeritah Selangor, tiada sebarang usaha proaktif dilakukan untuk menurunkan kes denggi terbabit.

“Selama 15 tahun mereka memerintah Selangor, mereka asyik menggunakan cara dan amalan biasa untuk mengatasi perkara ini.

“Banyak sangat kematian, kita terlalu jauh ketinggalan daripada negeri-negeri lain dan yang paling dekat kita pun ada 3,000 kes.

“Kalau kita nak kata oleh kerana pembangunan, Pulau Pinang pun tidak setinggi kita hanya 2,000 lebih.

“Kenapa Selangor ada lebih 22,000 kes dan ianya mengambil masa sudah 15 tahun mereka memerintah, makin hari makin meningkat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette