Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan keabsahan kerajaan Perikatan Nasional susulan pembatalan Ordinan Darurat pada 21 Julai lalu.
Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, enam Ordinan Darurat yang dibatalkan pada tarikh berkenaan termasuk Ordinan Induk Darurat 2021 yang mana ia boleh menimbulkan persoalan dari segi kesahihan menerusi undang-undang.
“Maknanya keabsahan kerajaan bermula dari 21 Julai hingga 1 Ogos dipersoalkan. Pada pendapat saya, kenyataan semalam mengelirukan rakyat dan Ahli Parlimen,” katanya yang mendesak Perdana Menteri menjelaskan secara tepat dan terperinci mengenai perkara berkenaan sebelum timbul lebih banyak persoalan.
Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan sama ada pembatalan Ordinan Darurat mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan dibuat menerusi proses undang-undang.
“Dalam proses undang-undang, Kabinet mesti menasihati Agong, Agong perkenan untuk (Ordinan Darurat) dibatalkan dan ia digazetkan serta dibentangkan dalam kedua-dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara). Barulah lengkap dari segi undang-undang,” jelasnya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan Perikatan Nasional yang secara senyap-senyap menamatkan Ordinan Darurat berkenaan lima hari sebelum sidang Parlimen dibuat.
“Bolehkah ia dibuat secara ‘backdated’ atau diterkebelakangkan tarikhnya? Apakah kesan dan implikasi terhadap sebarang undang-undang yang diambil pihak berkuasa selepas 21 Julai itu mungkin boleh dipersoal atau terbatal dari segi undang-undang,” katanya.
Semalam, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan memaklumkan bahawa kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat yang tamat pada 1 Ogos ini.
Katanya, kerajaan juga memutuskan berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, semua ordinan yang telah dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat terbatal.
“Kerajaan sudah menarik balik semua ordinan darurat berkenaan pada 21 Julai lalu. Pembatalan ini menjadikan isu Proklamasi dan Ordinan Darurat tidak lagi berbangkit,” katanya pada hari pertama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat semalam.
Kenapakah pihak PH dan Najib sibuk mempersoalkan mengenai pemansuhan Ordinan2 Darurat tanpa memohon persetujuan YDP Agung sedangkan Perlembagaan dengan jelas membenarkan kerajaan bertindak demikian? Apa pula kaitan keabsahan Kerajaan PN dengan pemansuhan ordinan2 tersebut sedangkan kerajaan PN ditubuhkan sebelum Darurat disytiharkan, dan Darurat tersebut bukannya menggantikan kerajaan yang berkrisis seperti berlaku pada Mei69. Lupakah Najib tujuan darurat dipohon dan diisytiharkan dulu hanya untuk memudahkan kerajaan PN menangani krisis Covid-19? Kepada Najib dan puah2 PH janganlah fikir rakyat bodoh atau dungu dan termakan dengan mainan politik carcamerba kamu.
Betul rakyat tak bodoh… Tak macam Mahiaddin meroyan kata orang bodoh dan suruh orang bodohkan dia 😀