[VIDEO] Kes Zayn Rayyan: Tindakan polis berdasarkan perundangan

"Jadi PDRM dalam konteks ini dan dengan berlakunya pendakwaan hari ini maka siasatan kami mengenai kes ini selesai di sini sehinggalah pendakwaan berlangsung.

0
339

Penolakan permohonan peguam untuk bertemu atau berkomunikasi dengan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin ketika direman diputuskan mengikut peruntukan undang-undang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan bawah Seksyen 28A (8) Kanun Tatacara Jenayah telah memberikan kuasa hak peruntukan polis untuk menafikan hak tersebut.

Suhaily menegaskan tiada objektif lain yang mahu dicapai melainkan untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.

“Dalam erti kata lain pihak kami telah menggunakan semaksimum mungkin peruntukan undang-undang kepada polis seperti mana sedia maklum bawah Bahagian 5 Special Investigation Power (Kuasa Istimewa Penyiasat) yang memberi kuasa kepada pihak polis.

“Berdasarkan kanun tersebut, polis boleh menolak permohonan peguam bertemu anak guam jika ia dikhuatiri boleh mengganggu siasatan”, kata Shuhaily dalam satu sidang media khas di pejabatnya di Bukit Aman, di sini.

Mengulas lanjut Shuhaily berkata tujuan polis membawa ibu Zayn Rayyan, Ismanira Abdul Manaf ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam dibuat mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 yang juga bertujuan memastikan semua keterangan dan pendedahan diperolehi semasa siasatan boleh diguna pakai di mahkamah ketika perbicaraan.

Bagaimanapun selepas ketetapan dibuat hasil perbincangan polis dengan Jabatan Peguam Negara, pendakwaan bawah Akta Kanak-kanak 2001 merupakan peruntukan undang-undang paling sesuai buat masa ini untuk mendakwa ibu bapa Zayn Rayyan.

“Semalam perbincangan yang begitu mendalam dengan segala kenyataan bukti dan keterangan, pihak pendakwaraya berpendapat buat masa ini seksyen yang sesuai adalah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang saya rasa semua maklum boleh membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

“Jadi PDRM dalam konteks ini dan dengan berlakunya pendakwaan hari ini maka siasatan kami mengenai kes ini selesai di sini sehinggalah pendakwaan berlangsung,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa, penyelesaian kes berkenaan dilihat satu komitmen tinggi ditunjukkan oleh pegawai serta anggota dan mereka yang berhempas pulas menjalankan siasatan itu wajar diberi penghargaan selepas melunaskan tugas mereka selama tempoh lebih kurang enam bulan.

Juteru, Shuhaily turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat. Kenyataan yang tepat hanya daripada pihak polis.

BACA juga: