[Video] Kereta api terlanggar kereta di Pelabuhan Johor

0
357

JOHOR BAHRU: Sebuah kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) terlanggar sebuah kereta di Landasan Kilometer 31 berdekatan pintu besar Pelabuhan Johor, Pasir Gudang, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata kejadian pada jam 9.40 pagi itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.

Beliau berkata kejadian berlaku ketika kereta api dengan 31 wagon yang dipandu seorang lelaki berusia 32 tahun itu sedang dalam perjalanan dari stesen Pasir Gudang menuju ke stesen Pelabuhan Johor.

“Bagaimanapun secara tiba-tiba kereta api itu telah terlanggar sisi hadapan kiri sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun yang dalam perjalanan memasuki pintu utama Pelabuhan Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu kereta terbabit yang tidak perasan dengan pergerakan kereta api di hadapannya, dan kes disiasat di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu tular video berdurasi 40 saat di Facebook memaparkan sebuah kereta Perodua Axia bergerak ke arah pintu besar pelabuhan berkenaan dan kemudiannya dilanggar kereta api. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.