[VIDEO] Claudia Sheinbaum lakar sejarah sebagai Presiden wanita pertama Mexico

Beberapa pengundi wanita menyambut baik prospek seorang wanita yang memecahkan ‘siling kaca politik’ tertinggi di negara dengan kira-kira 10 wanita atau gadis dibunuh setiap hari.

0
165

BANDARAYA MEXICO – Claudia Sheinbaum dipilih sebagai Presiden wanita Mexico yang pertama selepas memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya semalam, demikian menurut keputusan rasmi awal.

Sheinbaum, 61, yang merupakan bekas Datuk Bandar Bandar Raya Mexico memperoleh antara 58 hingga 60 peratus undi, demikian menurut pengiraan undi pantas oleh Institut Pilihan Raya Nasional.

Ia adalah lebih 30 peratus mata di hadapan pesaing utamanya, Xochitl Galvez, serta 50 peratus melebihi satu-satunya calon lelaki, Jorge Alvarez Maynez.

Pengundi sebelum itu berpusu-pusu menuju ke pusat mengundi di seluruh negara Amerika Latin tersebut, walaupun keganasan sporadis tercetus di kawasan-kawasan yang terjejas oleh kartel dadah ultra-ganas.

Beribu-ribu tentera dikerahkan untuk melindungi pengundi berikutan proses pilihan raya yang sangat berdarah, yang telah menyaksikan lebih daripada 24 calon ahli politik tempatan terbunuh.

Terdahulu, Sheinbaum memuji apa yang disebutnya sebagai hari pilihan raya bersejarah.

Selepas membuang undi, Sheinbaum mendedahkan bahawa beliau tidak mengundi untuk dirinya sendiri tetapi untuk veteran sayap kiri berusia 93 tahun, Ifigenia Martinez, sebagai mengiktiraf perjuangannya.

“Hidup demokrasi!” laung Sheinbaum.

Sementara itu, beberapa pengundi wanita menyambut baik prospek seorang wanita yang memecahkan ‘siling kaca politik’ tertinggi di negara dengan kira-kira 10 wanita atau gadis dibunuh setiap hari.

“Seorang presiden wanita akan menjadi transformasi untuk negara ini, dan kami berharap beliau melakukan lebih banyak lagi untuk kaum wanita,” kata seorang tukang cuci dari Bandar Raya Mexico, Clemencia Hernandez.

BACA juga: