[VIDEO] Air longkang bertukar biru di Shah Alam

Kerajaan Negeri Selangor, LUAS dan agensi-agensi berkaitan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air negeri

0
121

Hari ini (1 Jun) sekitar jam 12.30 tengahari tadi, aliran air berwarna biru di Sg. Kandis telah dikesan di kawasan Jalan Sellathevan, Klang.

Pasukan LUAS telah segera ke lokasi dan menjalankan siasatan lanjut sehingga lewat petang tadi menjejaki punca kepada aliran air berwarna biru tersebut di kawasan persekitaran yang berhampiran.

Siasatan LUAS telah menemukan punca yang disyaki di kawasan perindustrian di Jalan Omboh, kesan pembuangan cat berwarna biru di tapak. Semakan lanjut LUAS mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran telah memasuki longkang berhampiran dan seterusnya mengalir ke dalam Sg. Kandis. LUAS telah melakukan pensampelan kualiti air dan sampel tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan.

LUAS akan mengambil tindakan lanjut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(1)(c) Enakmen LUAS 1999 di atas kesalahan mencemarkan sumber air. Di dalam masa yang sama, LUAS juga telah berkomunikasi dengan pihak JAS dan MBSA bagi tindakan penguatkuasaan berdasarkan bidang kuasa agensi.

Kerajaan Negeri Selangor dan LUAS menegaskan dan menyeru kepada semua pemilik premis/tapak industri agar sedar, cakna dan prihatin terhadap aktiviti anda di tapak. Pastikan aktiviti/operasi, keselamatan dan penyelenggaraan peralatan serta kelengkapan di premis dikawal dan dipantau dengan sempurna agar tiada risiko kepada sumber air terutamanya sungai.

Kerajaan Negeri Selangor, LUAS dan agensi-agensi berkaitan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air negeri melalui bidang kuasa dan perundangan pelbagai agensi.

BACA juga: