HomeBERITAAMVarian Omicron: Tindakan pantas kerajaan legakan Keluarga Malaysia – MCA

Varian Omicron: Tindakan pantas kerajaan legakan Keluarga Malaysia – MCA - huluselangor.com

Pengesanan varian terbaru Covid-19 di Afrika Selatan yang dinamakan Omicron telah mencetuskan kebimbangan global, lebih-lebih lagi apabila varian ini dilaporkan memiliki jumlah mutasi yang luar biasa berbanding dengan varian Delta, dan mampu merebak dengan pantas di mana lebih daripada seribu kes dikesan dalam tempoh sebulan.

Rakyat Malaysia tentu menghembus nafas lega apabila Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil tindakan pantas untuk mengenakan sekatan perjalanan dari Malaysia ke tujuh buah negara di Afrika, iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.

Buat masa ini, Malaysia masih belum membenarkan kemasukan warga asing ke dalam negara kita, dan ini dibuktikan satu langkah yang baik memandangkan pengesanan varian baharu Omicron.

Hanya rakyat Malaysia dan pemastautin tetap sahaja dibenarkan pulang, dan mereka masih perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin.

Jelas sekali kerajaan hari ini telah belajar dari kesilapan kerajaan Pakatan Harapan yang enggan melaksanakan sekatan dan saringan terhadap pelancong dari China walaupun negara-negara lain sudah mula membuat demikian.

Dalam masa sama, kita tidak boleh leka. Ini kerana varian Omicron kini dikesan di Australia dan juga di beberapa negara di Eropah, membuktikan bahawa varian ini sudah mula tersebar dan tidak lagi hanya berada di Afrika sahaja.

Kes pertama di Australia dikatakan membabitkan penumpang Afrika dari penerbangan Qatar Airways melalui Doha.

Justeru itu, kerajaan wajar meningkatkan pemantauan dan saringan di semua pintu masuk negara. Kita harus mengambil iktibar dari varian Delta yang bolos masuk ke dalam negara kita dan menyebabkan sekatan pergerakan terpaksa dilaksanakan.

Negara kita tidak boleh melalui satu lagi “lockdown”. Langkah meningkatkan keselamatan di pintu sempadan negara sudah tentu akan memberi keyakinan kepada rakyat untuk meneruskan aktiviti kehidupan harian mereka di samping menyakinkan pelabur-pelabur asing bahawa kerajaan hari ini serius untuk menangani pandemik Covid-19 ini dan memulihkan ekonomi negara.

Keluarga Malaysia tentunya menaruh keyakinan tinggi terhadap kerajaan menerusi kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan dalam menangani perkara ini.

Pada masa sama, kita sebagai rakyat juga harus terus main peranan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Melalui usaha kerajaan dan digandingkan dengan kerjasama semua pihak, Malaysia sudah pasti dapat mengharungi cabaran ini. – bnnewsonline

HomeBERITAAMVarian Omicron: Tindakan pantas kerajaan legakan Keluarga Malaysia – MCA

Berkaitan

POPULAR