Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan semasa menggagaskan Muafakat Nasional (MN), parti itu sangat jelas dengan tujuannya yang mana ianya bagi mempertemu dua parti Melayu dan menjadi wadah ke arah kesatuan dan penyatuan.
Menurut beliau ianya adalah penyatuan yang jujur serta ikhlas dan wadah ini harus menjangkaui politik selain ianya perlu menjadi medan segala kepentingan Melayu dan Islam dibincangkan dan dirumuskan.
“Kerana itu, UMNO sedari awal tidak mahu ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik, walaupun pelbagai pihak dalam UMNO dan PAS mendesak ke arah itu. Bagi UMNO, biarlah MN menjadi wadah yang boleh memayungi semua, bukan sekadar kepentingan politik PAS dan UMNO. Apatah lagi apabila ideologi dan pendekatan kedua-dua parti ini sangat berlainan.
“Yang jelas UMNO tidak pernah membelakang dan meninggalkan MN. Sedikit demi sedikit, dengan segala daya yang ada, MN ini cuba UMNO kukuhkan dari segenap aspek. Tetapi, sebaik Perikatan Nasional (PN) terbentuk, MN sudah tidak lagi berseri, sudah tidak ada penarik dan seperti sudah tidak ada erti,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.
Kata Mohamad lagi, sebahagian dari pendukung MN tiba-tiba cenderung melihat PN sebagai jalan pintas untuk berkuasa dan mantera perpaduan ummah, laungan penyatuan merentas politik, hilang dan dilupakan.
Jelasnya ramai yang mula dibuai kerusi empuk dan berasa enak memegang tampuk kekuasaan malah MN secara perlahan-lahan seakan dilepas dan dilupakan, seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam itu telah selamat dalam dakapan PN.
“Perpaduan ummah itu penting, tetapi ia haruslah diperjuangkan secara berterusan dan terangkum. Bukan bermusim. Ia mesti diusaha dan dijayakan sepanjang masa. Bukannya sekadar berbincang dan bermesyuarat demi sebuah pilihan raya dan menguasai Putrajaya semata-mata,” ujarnya.
Beliau seterusnya menjelaskan permuafakatan MN juga harus praktikal dan realistik.
“UMNO adalah parti politik. Ia bukan pergerakan sivil atau dakwah. Ia adalah instrumen untuk orang Melayu mengurus negara. Ia adalah parti teras BN dengan agenda kepelbagaian budaya. Dan ia mempunyai kepentingan politik tersendiri.
“Seperti juga PAS. Ia adalah parti politik dengan perjuangan tersendiri, ideologi tersendiri dan kemahuan tersendiri. Kerana itu UMNO tidak pernah mengajak Amanah dan PKR mahupun PBB di Sarawak untuk menyertai MN. Kerana UMNO realistik dan memahami sejarah PAS dengan Amanah. UMNO juga menghargai kelainan PKR dan PBB.
“Maka demikianlah yang berlaku dalam PRN Melaka. PAS telah memilih PN, dan UMNO menerima keputusan tersebut. Dengan hati terbuka, (dan sedikit terluka). Kerana UMNO sejak awal faham.
“Ia tidak boleh meletakkan MN sebagai penghalang kerjasama politik antara PAS dan PPBM. Dan PAS pula tidak boleh menggunakan MN untuk memaksa UMNO menerima PPBM kerana kami adalah seteru politik yang nyata,” katanya.
Namun, katanya lagi itu tidak bermakna MN itu akan ditinggalkan dan sudah tidak relevan.
“PAS teruslah dengan PN dan UMNO pula teruslah dengan BN. Tetapi jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan UMNO dan PAS bertemu dan berbincang, MN harus menjadi arenanya.
“Sebenarnya orang Melayu tidaklah berpecah dengan teruk. Kesatuan antara UMNO dan PAS melalui MN pula bukanlah bermakna orang Melayu telah bersatu dan ummah menjadi kuat. Puluhan juta orang Melayu di luar sana tidak pun menganggotai UMNO atau PAS.
“Namun, itu tidak bermakna mereka tidak mementingkan perpaduan dan masa depan ummah ini. Mereka sekadar mempunyai cita rasa dan cara masing-masing dalam politik. Yang demikian itu, harus kita faham dan hormat.
“Yang paling penting ialah kepentingan mereka diuruskan melalui wadah politik yang pelbagai, dengan cara yang tidak merugikan. Dan UMNO memilih untuk melakukannya melalui BN kerana telah lebih enam dekad, itulah caranya yang UMNO rasa terbaik.
“Sesungguhnya, perpaduan ummah bukan hanya perpaduan antara UMNO, PAS, dan PPBM. Ia merangkumi permuafakatan semua yang merentas logo, bendera dan parti. Biar rambut kita beraneka warna, yang penting, hati kita pada bangsa dan agama,” tambahnya.