Kerajaan perlu mencari pendekatan baharu bagi menangani isu banjir yang sering berlaku di negara ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Ketua UMNO Sabah berkata setuasi banjir yang kerap kali berlaku di negara ini bukanlah perkara biasa selain faktor perubahan iklim dunia, ia juga berlaku kerana pembangunan tidak terancang, pengabaian aspek pemuliharaan alam sekitar dan kelemahan penyelanggaran sistem saliran yang tidak sempurna.
Menurut Menteri Kerja Raya Sabah itu beliau sering kali membangkitkan isu tersebut di Dewan Rakyat kerana isu banjir bukanlah perkara baharu tapi ia sudah menjadi satu ancaman kepada negara dan rakyat.
“Kerajaan perlu ada perancangan jangka pandek dan jangka panjang untuk menangani masalah banjir di negara ini. Iianya tidak hanya bergantung dengan ‘ad’hock committee’ semata mata tapi jawatankuasa berkenaan perlu ada perancangan jangka masa panjang untuk menangani isu banjir, ” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan keperluan asas dari UMNO Sabah untuk mangsa-mangsa banjir di Taman Sri Muda Shah Alam dan Kampung Labihan Dagan Banting di sini kemarin.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berpandangan dalam masa yang sama kerajaan perlu bertindak untuk melengkapkan aset-aset kelengkapan bantuan penyelamat dan anggota agar apabila berlaku banjir luar biasa berlaku maka ianya cepat digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Dalam pada itu Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta sektor korprat dan badan badan NGO agar turun padang membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa buah daerah di Selangor yang terjejas teruk dengan kejadian banjir yang berlaku minggu lepas.
Katanya bukan sahaja bantuan dalam bentuk kewangan namun bantuan-bantuan lain amat diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir termasuklah tenaga sukarelawan bagi membersihkan kekotoran dan sampah sarap.
“Meskipun banjir mula surut namun sumbangan berterusan masih mereka perlukan kerana tugas pada fasa pasca banjir lebih mencabar berbanding keadaan semasa banjir, penduduk yang terjejas bukan sahaja perlukan bantuan tapi sokongan moral dan kita wajar buktikan semangat ‘Keluarga Malaysia’ membantu mereka,” katanya.
Tambah Bung Moktar lagi, UMNO sendiri diketuai oleh Presidennya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut turun padang membantu mangsa-mangsa banjir selain menyalurkan bantuan keperluan asas dan kerja-kerja pembersihan yang digerakkan oleh Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.