HomeBERITATindakan Ku Li Tak Wajar

Tindakan Ku Li Tak Wajar - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Tindakan Ahli Parlimen kanan UMNO dan bertaraf penasihat mengadakan sidang media bersama pembangkang, tidak menghormati disiplin parti.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata tindakan Ahli Parlimen itu turut menimbulkan kekeliruan dalam kalangan akar umbi UMNO mengenai pendirian sebenar parti itu.

Walaupun tidak menamakan pemimpin itu, Shahril dipercayai merujuk pada Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang mengadakan sidang media bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, kelmarin.

“Sebagai orang muda dalam parti, sudah tentu saya hormat orang lama.

“Tetapi saya benar-benar tidak faham apa keperluan seorang Ahli Parlimen UMNO yang senior, berpengaruh dan bertaraf penasihat – tanpa segan silu buat sidang media bersama pembangkang. Kesannya bukan kecil.

“Kelirukan orang di bawah apa sebenarnya “m’stand’ UMNO; tak hormati disiplin parti yang memutuskan untuk sokong Belanjawan; dan tak hormati disiplin parti dengan melaksana sidang media politik bersama pemimpin besar parti lawan.

“Bayangkan jika orang lain buat perkara sama semalam – apa reaksi? Atau bayangkan selepas ini ada Ahli Parlimen atau mana-mana pemimpin UMNO buat gerakan terbuka, panggil media, dengan parti lawan, tanpa izin Presiden atau MKT (Majlis Kerja Tertinggi)? 

“Adakah ia tauladan (teladan) yang baik? Adakah ia menjernihkan keadaan dalam parti? Sudah tentu tidak,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Kelmarin, Dr Mahathir dan Tengku Razaleigh atau Ku Li, mengadakan sidang media sehari sebelum bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021, sebagai usaha terakhir untuk menggagalkan kelulusan RUU itu di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat semalam, selepas bacaan kali ketiga diputuskan menerusi undi belah bahagian menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Difahamkan, Ahli Parlimen yang tidak hadir adalah Tengku Razaleigh.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, mana-mana pihak dan pemimpin parti boleh menyuarakan pandangan, namun perlu melalui saluran yang tepat.

Katanya, pandangan berbeza itu masih boleh diterima walaupun disuarakan secara terbuka di media kerana ia pernah dilakukan sesetengah Ahli Parlimen dan ahli politik yang ‘nakal’, dan menjadi perkara biasa yang mewarnai pentas politik mana-mana negara dan parti.

“Tetapi apabila terang-terang mengumum dan mengajak ke arah sesuatu tindakan dasar tanpa izin parti, bertentangan dengan parti – itu cerita lain. 

“Ini bukan lagi sekadar spekulasi atau cakap-cakap belakang ditambah gula, garam secukup rasa sehingga kesahihan diragui. Ini tindakan politik terbuka di khalayak ramai.

“Ia tidak boleh dibiasakan, dibudayakan atau menjadi ‘normal baharu’ politik UMNO. Sebab itu saya suarakan perkara ini – supaya insiden semalam tidak berlalu seolah tiada apa-apa luar kelaziman yang berlaku. Ia mesti dihentikan,” katanya.

Berhubung keputusan UMNO menyokong Belanjawan 2021, Shahril berkata, ia berkait dengan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ia juga diputuskan setelah meneliti baik buruk sebarang keputusan terhadap kebajikan rakyat, amnya,” katanya, yang memberi jaminan UMNO akan merangka strategi untuk membela nasib rakyat. – BH Online

HomeBERITATindakan Ku Li Tak Wajar

Berkaitan

POPULAR