HomeBERITATak Ada Remaja Meninggal Dunia Akibat Vaksin - KKM

Tak Ada Remaja Meninggal Dunia Akibat Vaksin – KKM - huluselangor.com

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan berlaku lima kematian di kalangan remaja negara ini akibat kesan sampingan selepas menerima vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan seorang aktivis yang viral melalui sebuah video baru-baru ini bahawa lima remaja maut selepas menerima vaksin berkenaan.

Menurut beliau, selepas siasatan dilakukan, didapati seorang pelajar wanita tingkatan lima berumur 17 tahun dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, Ipoh meninggal dunia sebelum Program Vaksinasi PICK Remaja bermula.

“Beliau adalah seorang pesakit penyakit kencing manis jenis 1 yang bergantung kepada rawatan insulin. Pelajar ini dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 18 Ogos 2021 (belum divaksin),” jelas beliau.

Dr Noor yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi Covid-19 Remaja berkata, satu lagi kematian melibatkan remaja lelaki berumur 17 tahun dari sekolah yang sama adalah akibat penyakit jantung kongenital.

“Pelajar ini telah dibawa ke unit kecemasan hospital akibat jangkitan kuman yang teruk.

“Bantuan pernafasan dan resusitasi telah diberikan tetapi beliau meninggal dunia pada 17 September dan belum menerima vaksin Covid-19, punca kematian adalah ‘sepsis with underlying congenital health disease’,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berhubung dakwaan di Lahad Datu pula, beliau menjelaskan bahawa tidak ada sebarang kematian melibatkan mana-mana remaja selepas divaksin dilaporkan di Sabah.

Penjelasan beliau berhubung tiga kematian di atas dibuat bagi menjawab kenyataan aktivis wanita berkenaan yang seperti berikut: “…Dua pelajar sekolah SMK Tasek Damai, Ipoh yang telah meninggal selepas diberikan vaksin dan seorang anak kami di Lahad Datu yang telah meninggal dunia selepas divaksin di Sabah.”

Kenyataan kedua yang dibuat aktivis berkenaan pula, ” …menyatakan solidarity kami kepada seorang ibu di mana kedua-dua anaknya kini sedang mengalami AEFI di Ipoh.”

Mengulas perkara itu, Dr Noor berkata, hasil siasatan mendapati, dua beradik berusia 16 dan 18 tahun yang dimaksudkan aktivis berkenaan mengalami kesan sampingan vaksin Comirnaty dan dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Ipoh.

Baca: KKM Siasat Dakwaan Remaja Meninggal Dunia Selepas Divaksin

Beliau berkata, remaja berusia 16 tahun itu telah dibenarkan keluar hospital manakala abangnya masih dalam rawatan dan pemerhatian doktor pakar hospital yang sama.

“Semakan oleh Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagaimanapaun mendapati laporan kesan sampingan kedua beradik ini masih belum diterima,” katanya.

Sehubungan dengan isu ini, beliau dalam kenyataan yang sama menasihatkan semua pengamal perubatan kerajaan dan swasta yang mengesyaki pesakit mereka mengalami kesan sampingan akibat vaksin (AEFI), segera melaporkan hal berkenaan kepada NPRA.

“Penyebaran maklumat yang tidak benar kepada masyarakat adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab,” katanya. – Mynewshub.TV

Ikuti Twitter Mynewshub di sini 

HomeBERITATak Ada Remaja Meninggal Dunia Akibat Vaksin - KKM

Berkaitan

POPULAR