TEKNOLOGI NANO UNTUK KENALPASTI MINYAK SUBSIDI ~ huluselangor.com

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menggunakan teknologi nano bagi mengenal pasti minyak bersubsidi yang diseludup, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan menterinya, Datuk Rohani Abdul Karim, berkata teknologi itu dapat membezakan minyak bersubsidi melalui warnanya.

“Teknologi nano ini juga digunakan dalam kes-kes penyeludupan minyak subsidi yang dibawa mahkamah,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Ismail Kasim (BN-Arau) mengenai bagaimana kerajaan memantau ketirisan yang berlaku melibatkan minyak bersubsidi.

Rohani berkata, apa yang penting ialah maklumat daripada orang awam selain kementerian turut bekerjasama dengan polis, kastam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk sama-sama meronda di kawasan sempadan memastikan tidak berlaku ketirisan ke negara jiran.

Menjawab soalan Datuk Eric Enchin Majimbun (Bebas-Sepanggar) mengenai jumlah subsidi minyak yang ditanggung kerajaan untuk pengangkutan darat, udara dan laut, Rohani berkata sebanyak RM8.642 bilion dibelanjakan untuk pengangkutan darat di Semenanjung, RM0.791 bilion di Sabah dan RM0.883 bilion di Sarawak.
“Tiada subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi pengangkutan udara dan laut,” katanya.

Rohani berkata, subsidi bagi 2011 untuk sektor pengangkutan dijangka meningkat sehingga RM16.38 bilion.

Penurunan dan kenaikan jumlah subsidi ini adalah akibat daripada perubahan harga minyak di pasaran global serta kadar tanggungan subsidi yang berubah-ubah mengikut harga pasaran.

HomeBERITATEKNOLOGI NANO UNTUK KENALPASTI MINYAK SUBSIDI

Berkaitan

POPULAR