Tanah Mendap: Penduduk Apartment Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Sentosa Di Arah Pindah (video)

43
0

wpid-tanah-mendap-taman-bunga-raya-2.jpg

BUKIT BERUNTUNG: Kekerapan hujan lebat sejak kebelakangan ini membawa mimpi ngeri buat penduduk di pangsapuri Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, Rawang hari ini apabila satu kejadian tanah mendap dilaporkan berlaku.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada kegagalan struktur tanah akibat pergerakan air itu dikhuatiri menjejaskan Blok K dan L apartmen berkenaan.

Balai Bomba Kuala Kubu ketika dihubungi telah mengesahkan kejadian tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) apartmen berkenaan, Suhaili Abdul berkata, pihak Jabatan Kerja Raya sedang membuat kerja-kerja mengorek tanah bagi memeriksa  tahap keseriusan dan mengambil langkah selanjutnya.

wpid-tanah-mendap-taman-bunga-raya-1.jpg

“Kejadian disedari semalam ketika hujan lebat. Penduduk mengesan berlakunya situasi geseran tanah berdekatan dengan Blok L apartmen ini. Buat masa ini, beberapa pihak seperti bomba dan JKR serta pihak polis sudahpun berada di tempat kejadian untuk tujuan kawalan dan keselamatan,” ujarnya ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurut Suhaili, kejadian itu bukan yang pertama kali berlaku. Empat tahun lalu kejadian seumpamanya pernah terjadi dan kini ramai pihak khuatir kerana ia berulang.

“Penghuni di Blok K dan L sudah menerima arahan untuk berpindah ke Sekolah KebangsaanTaman Bunga Raya sebagai langkah berjaga-jaga sementara kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan dijalankan.

“Namun pemindahan tersebut dijangka mula dijalankan selepas pukul 6 petang memandangkan ramai penduduk masih belum pulang ke kediaman mereka dari tempat kerja,” kata Suhaili.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan buat masa ini dan pihak JMB Apartmen Teratai berharap insiden ini dalam kawalan pihak berwajib