HomeBERITATak Perlu Usul Undi Percaya Kepada PM - Wan Junaidi

Tak Perlu Usul Undi Percaya Kepada PM – Wan Junaidi - huluselangor.com

PUTRAJAYA – Tiada keperluan untuk mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di Parlimen bagi menentukan keabsahan pelantikannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keabsahan pelantikan Ismail Sabri tidak perlu dipertikaikan lagi.

Beliau berkata, ini memandangkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan menetapkan kuasa melantik Perdana Menteri adalah bawah Yang di-Pertuan Agong.

“Pelantikan Ismail Sabri tidak perlu dipertikaikan lagi kerana ia dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan.

“Perkara ini (usul undi percaya) tidak sesuai dilakukan kerana Perdana Menteri baru saja mengambil alih jawatan itu,” katanya pada sidang media di Dewan Serbaguna Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di sini, hari ini.

Pada 18 Ogos lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah agar Perdana Menteri yang baharu dilantik perlu mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkannya mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, berkata tiada keperluan untuk mengabsahkan pelantikan Ismail Sabri dan kerajaan yang telah dibentuk menurut lunas undang-undang.

Idrus dilaporkan berkata, ini kerana tatacara penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sudah diputuskan Seri Paduka sendiri.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri yang memiliki sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen.

“Ahli Parlimen juga sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan dan dalam masa singkat, saya tidak melihat mereka akan mengubah pendirian.

“Perkara ini mungkin boleh berlaku jika ada yang berubah fikiran selepas tempoh masa enam atau tujuh bulan,”katanya. – BH Online

HomeBERITATak Perlu Usul Undi Percaya Kepada PM - Wan Junaidi

Berkaitan

POPULAR