S’pura kutuk serangan bom di Kabul

0
365
s’pura-kutuk-serangan-bom-di-kabul

SINGAPURA: Singapura mengutuk pengeboman yang dilancarkan di luar lapangan terbang Kabul pada Khamis (26 Ogos).

“Tindakan ganas ini kejam dan tidak boleh diterima sama sekali,” menurut Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada Jumaat (27 Ogos).

Para pengebom nekad menyerang orang ramai yang berkumpul di luar lapangan terbang Kabul dengan harapan dapat meninggalkan Afghanistan yang kini jatuh ke tangan Taliban.

Rakaman video oleh para wartawan Afghanistan menunjukan puluhan mayat bergelimpangan di sekitar terusan di pinggir lapangan terbang tersebut. Sekurang-kurangnya dua letupan menggegarkan kawasan itu, kata para saksi.

Sekurang-kurangnya 13 askar Amerika Syarikat (AS) terbunuh, menurut Pentagon. Sementara itu, para pegawai kesihatan Kabul ditukil sebagai berkata 60 orang awam turut terkorban.

ISIS mengaku bertanggungjawab atas serangan itu sambil menyatakan seorang daripada pengebom nekad itu menyasarkan “penterjemah dan rakan kerja bersama tentera Amerika”. Para pegawai Amerika juga menyalahkan kumpulan itu.

“Kami menyampaikan takziah mendalam kepada para keluarga serta mangsa dan berharap mereka yang cedera akan pulih sepenuhnya,” kata seorang jurucakap MFA.

“Singapura terus menggesa semua pihak, termasuk Taliban, untuk menjaga keselamatan orang awam serta membantu menguruskan keberangkatan yang selamat dan teratur bagi warga asing yang mahu meninggalkan Afghanistan.”

– CNA/Agensi berita/FZ/fz

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.