Sindiket seludup rokok keretek Concept tumpas

179
0

KUALA LUMPUR – Satu sindiket pengedaran rokok seludup yang bergiat aktif di Semenanjung Malaysia berjaya ditumpaskan dengan rampasan rokok bernilai RM4.254 juta.

Sindiket yang didalangi dua lelaki dipatahkan dalam satu operasi di Nilai Negeri Sembilan pada 24 September lalu atas maklumat awam.

Pengarah Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis berjaya menahan dua lelaki iaitu seorang warga tempatan dan seorang lagi rakyat Myanmar berusia antara 30 hingga 44 tahun untuk siasatan lanjut.

“Sejumlah 24,000 karton rokok keretek seludup jenama Concept yang menggunakan setem cukai palsu telah dirampas bersama sebuah kereta perodua Myvi dengan nilai rampasan dianggarkan RM4.254 juta.

“Kedua-dua suspek direman oleh Ibu pejabat polis daerah Nilai selama 5 hari bermula 25 hingga 29 September di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat dibawah Seksyen 135(1) (E) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, dalam satu lagi serbuan asing pada hari yang sama di Kedah, Polis Marin Wilayah 1 Kuala Kedah bertindak atas maklumat berjaya menyerbu sebuah lori yang dipandu seorang lelaki tempatan pada pukul 2.30 petang.

Menurutnya, operasi di kawasan Lorong Haji Ismail, Jalan Dato Kumbar, Alor Setar Kedah menerusi hasil pemeriksaan ke atas lori berjaya merampas sejumlah 628,000 batang rokok putih dan keretek seludup pelbagai jenama.

“Pemandu lori berkenaan telah ditahan polis marin untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan selepas cukai ditaksirkan berjumlah RM584,440.

Turut dirampas sebuah lori jenama Hino 300 yang dipandu suspek dan jumlah keseluruhan rampasan adalah sekitar RM669,440

“Kesemua barang kes dan suspek diserahkan kepada Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette