Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah buat ahli keluarga Tan Sri Sabbaruddin Chik yang meninggal dunia pada jam 7.45 malam tadi.
Dilaporkan, Allahyarham yang merupakan bekas Setiausaha Agung UMNO meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini setelah dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak Ahad lepas selepas dijangkiti COVID-19.
“Semoga rohnya dicucuri Allah SWT dan dimasukkan ke dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman,” kata Ahmad Zahid dalam satu status di Facebook.
Bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan itu dijangka dikebumikan esok, namun waktu dan lokasi masih belum dapat dimaklumkan.
Allahyarham memulakan karier politiknya selepas bertanding di Parlimen Temerloh dan memegang kerusi itu dari 1982 hingga 1999.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini dilaporkan berkata Allahyarham adalah ‘sifu’ politik beliau sejak beliau dilantik Ketua Penerangan Bahagian Temerloh ketika berumur 27 tahun sehingga menjadi Setiausaha Politik Allahyarham pada 1995-1999 sewaktu menjawat jawatan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.