Sabah lancar projek rintis bas elektrik hujung tahun ini

0
1312
Sabah lancar projek rintis bas elektrik hujung tahun ini

KOTA KINABALU — Kerajaan negeri Sabah akan melaksanakan projek perintis bas elektrik hujung tahun ini di bandar raya Kota Kinabalu sebagai usaha menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih baik kepada rakyat, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) Datuk Jafry Ariffin. 

Beliau berkata bas berkuasa elektrik atau e-Bus itu akan menjadi alternatif yang berdaya maju untuk perkhidmatan pengangkutan awam yang bersih dan memastikan pengangkutan awam negeri berada di landasan yang betul untuk masa depan.

“Jumlah kenderaan di jalan raya Sabah semakin meningkat dan tiada siapa yang mampu menyangkal kenyataan bahawa pelepasan karbon daripada kenderaan konvensional menyumbang kepada perubahan iklim.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Qhazanah Sabah Berhad (QSB) kerana mengambil inisiatif memperkenalkan e-Bus di Kota Kinabalu,” katanya berucap pada majlis pelancaran pengenalan e-Bus di Wisma Tun Fuad, di sini hari ini.

Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Datuk Joniston Bangkuai dan hadir sama Pengarah Eksekutif QSB Mohd Shukor Abdul Mumin.

Jafry berkata Sabah mengambil langkah pertama dalam merintis pengangkutan awam mesra alam dengan pengenalan e-Bus dan berterima kasih kepada QSB, cabang pelaburan strategik kerajaan negeri.

Pengenalan e-Bus tersebut adalah hasil kolaborasi antara QSB dan Gemilang Coachwork Sdn Bhd, pengeluar bas elektrik serta badan bas aluminium terkemuka di Asia.

Ia dijangka beroperasi sebaik sahaja proses koordinasi dengan pihak berkuasa dimuktamadkan bagi menampung pergerakan penduduk yang tinggal di sekitar Kota Kinabalu.

Selain menyediakan perjalanan mesra alam, e-Bus dengan kapasiti sehingga 66 penumpang itu mempunyai akses yang lebih mudah untuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU) berkerusi roda memandangkan ia dilengkapi dengan tanjakan bagi menaiki kenderaan.

Sementara itu, Mohd Shukor berkata apabila e-Bus memulakan projek rintis tersebut, Sabah akan selangkah ke hadapan dalam memanfaatkan tenaga bersih bagi menggerakkan pengangkutan awamnya.

Katanya e-Bus membantu mempromosikan gaya hidup yang lebih lestari dari segi ekologi di samping mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar.

“Kami di QSB memacu inovasi secara berterusan melalui pelaburan strategik kami dan membantu kerajaan negeri dalam memajukan Sabah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.