Rentas negeri dibenar mulai esok, kata PM

0
332
Rentas negeri dibenar mulai esok, kata PM

Sempadan negeri di seluruh negara dibuka serentak mulai esok, selepas kadar vaksinasi populasi dewasa melepasi 90%, kata Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan keputusan ini, Keluarga Malaysia bebas melakukan pergerakan seperti balik kampung untuk berjumpa ibu bapa yang telah lama berpisah, melancong dan sebagainya,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan rakyat supaya tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran itu kerana ia mungkin menyebabkan lonjakan kes Covid-19.

Beliau menyarankan rakyat melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan.

“Bagi mereka yang bergejala seperti demam, batuk, selsema dan sesak nafas, saya nasihatkan anda tangguhkanlah dahulu perjalanan.

“Sekiranya anda didapati positif, kuarantin diri atau hubungi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) berhampiran untuk mendapatkan rawatan segera.”

Katanya, hanya individu yang divaksin sepenuhnya dibenarkan merentas negeri dan polis akan melakukan pemeriksaan secara rawak terhadap status vaksinasi, termasuk di kawasan rehat dan rawat (R&R).

“Tetapi bukan khusus, terserah kepada budi bicara polis nak periksa di kawasan mana.”

Sementara itu, Ismail berkata, kerajaan bersetuju membenarkan rakyat melakukan perjalanan ke luar negara tanpa menggunakan MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia bermula esok.

Bagaimanapun, katanya, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.