Pelakon, Fauzi Nawawi tampil memohon maaf atas kesalahannya terlepas kata mengenai isu melibatkan pengalaman berlakon bersama Raja Farah dalam filem Anak Halal.
Menurut Fauzi, laman sosialnya menjadi sasaran netizen yang mendakwanya membuka aib Raja Farah.
Ramai yang marah dan tidak berpuas hati dengan tindakan Fauzi mengulas babak rogol yang dilakonkan bersama aktres itu pada tahun 2007 dalam sebuah rakaman program televisyen.
Fauzi turut memuat naik video di Instagram memohon maaf kepada Raja Farah, suami, keluarga serta orang ramai yang tidak berpuas hati dengan kontroversi viral itu.
“Minta maaf kerana mungkin video ini agak lambat saya muat naik di media sosial kerana saya pun baru balik dari penggambaran. Saya kerja dan mendapat tahu mengenai berita ini pun sudah lewat malam semasa di set penggambaran.
“Kebetulan saya pun sedang menjalani babak yang berat, jadi terpaksa tutup semua komen sebab tak nak mengganggu fikiran. Saya tak tahu apa yang netizen marah sangat sampai sanggup maki dan hantar mesej yang bukan-bukan di Instagram.
“Begitu juga di Twitter, saya tengok ramai maki panggil saya celaka, babi. Tak apa, saya terima dengan lapang dada dan tenang walaupun kusut juga fikiran ini,” katanya.
Tambah Fauzi, rakaman program televisyen itu telah berlangsung semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 lagi dan telah lama ditayangkan tapi tidak pasti mengapa ia dikecohkan sekarang.
“Sebenarnya, saya tersedar telah terlepas cakap selepas habis rakaman program itu. Saya sudah minta pihak penerbit atau produksi untuk memotong bahagian yang sensitif sebab masa kami bersembang antara lelaki ini, ada yang tak terkawal cakap dan terlepas pula nama Raja Farah.
“Ketika itu, hos bertanyakan tentang watak yang sering bawakan sekitar 13 tahun lalu yang begitu sinonim dengan saya. Bila sudah terlepas cakap, saya sendiri pun rasa perkara itu patut dibuang atau ditutup. Tak tahu pula baru hari ini (semalam) ia ditularkan di Twitter,” katanya.
Namun, Fauzi mengakui kesalahannya dan menganggap dirinya jahil selain berulang kali memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan, terutama kepada Raja Farah, suami dan keluarga mereka yang tersinggung dengan tindakannya melalui rakaman video tersebut.